IPOH – Keseronokan 126 pengunjung yang sedang berhibur di sebuah pusat hiburan di sini terhenti apabila premis itu diserbu Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Perak hari ini.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, dalam serbuan pada pukul 1.30 pagi itu, individu yang ditahan terdiri daripada 92 lelaki dan 32 wanita tempatan serta seorang lelaki dan wanita warga China.
Katanya, kesemua individu itu dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak untuk tujuan saringan awal air kencing.
“Hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan mendapati 54 lelaki termasuk seorang lelaki warga China positif dadah jenis methampethamine, amphetamine dan ketamin.
“Dalam operasi itu, seorang lelaki tempatan yang juga penjaga pusat hiburan itu ditahan untuk siasatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut beliau, sebanyak 124 kompaun dikeluarkan kepada pengunjung di bawah Seksyen 12 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998 kerana berhibur di pusat hiburan dan gagal mematuhi penjarakan fizikal.
Katanya, individu yang didapati positif dadah pula akan disiasat di bawah Seksyen 15(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Penjaga pusat hiburan itu pula disiasat mengikut Seksyen 6(1) Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan Perak kerana menjalankan perniagaan hiburan tanpa lesen yang sah,” katanya. – K! ONLINE