KLUANG – Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melakukan penerbangan ihsan menyelamatkan empat sekeluarga dalam situasi banjir yang memburuk di negeri ini hari ini.
Menurut jurucakap JBPM Negeri Johor, pihaknya juga menghantar bantuan bekalan makanan untuk orang awam yang terkandas di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kahang dalam operasi sama.
“Pada pukul 1.16 petang tadi helikopter Agusta AW139 milik Unit Bomba JBPM selamat mendarat di Sekolah Menengah Sains Sembrong dan pada 3.10 petang berikutnya, penerbangan pertama dilakukan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kahang.
“Pada pukul 4 petang pula, mangsa banjir iaitu seorang wanita sarat mengandung, seorang lelaki dan dua orang kanak-kanak dari Ladang Sungai Tawing dibawa keluar dengan helikopter berkenaan.
“Sebaik mendarat di SMK Sains Sembrong mereka dibawa ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom Kluang dan penerbangan kedua dilakukan dengan membawa bekalan makanan ke SMK Kahang,” katanya ketika dihubungi hari ini. – K! ONLINE