IPOH – Tindakan seorang pesara kerajaan yang akur dengan arahan pegawai polis untuk meletakkan kad mesin juruwang automatik (ATM) miliknya di atas rumput menyebabkan dia mengalami kerugian sehingga RM1.06 juta.
Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, tindakan melulu wanita berusia 67 tahun itu berikutan panik selepas diberitahu kononnya kad ATM tersebut terlibat dalam kegiatan penggubahan wang haram.
Katanya, mangsa yang beralamat di Taiping itu terjerat dengan penipuan itu selepas dihubungi pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) pada pukul 3.30 petang, 8 Ogos lalu.
“Panggilan oleh wanita yang memperkenalkan diri dari SKMM itu kemudian disambungkan kepada seorang anggota polis dikenali sebagai Sarjan Tan Keng Zeng untuk menyelesaikan kes mangsa.
“Mangsa kemudiannya telah dihubungi beberapa individu mengaku sebagai pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu dikenali Asisten Superintenden Zaki dan Asisten Superintendan Yong.
“Dalam perbualan itu, mangsa telah diarahkan supaya meninggalkan kad ATM miliknya yang dimasukkan ke dalam sampul surat di atas rumput seperti alamat yang diarahkan suspek,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) Kontinjen Perak Tahun 2024 kepada 247 penerima terdiri daripada pesara polis, pegawai kanan dan pegawai rendah polis di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.
Mengulas lanjut Azizi berkata, mangsa kemudian menerima mesej pengeluaran wang dari tarikh 16 hingga 23 Ogos lalu ke dalam dua akaun bank berbeza dan pengeluaran melalui mesin ATM melibatkan wang berjumlah RM476,550.
Katanya, kesemua aktiviti itu melibatkan 75 transaksi.
“Pada masa sama, mangsa juga telah diarahkan untuk memindahkan wang dari akaun bank miliknya ke akaun pihak ketiga bagi tujuan siasatan sekali gus mengelakkan akaun tersebut dibekukan.
“Kedua-dua pegawai polis itu berjanji akan mengembalikan wang mangsa setelah siasatan selesai. Oleh kerana percaya dan atas dorongan suspek, mangsa telah melakukan 24 transaksi pemindahan wang dari akaun banknya ke sembilan akaun bank berbeza sebanyak RM590,000 dari 24 Ogos hingga 3 September lalu,” ujar beliau.
Tambah Azizi, mangsa yang menyedari ditipu telah membuat laporan polis kelmarin pada pukul 4.12 petang. – KOSMO! ONLINE