SHAH ALAM – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menegaskan tindakan terhadap peserta Himpunan RXZ Members 6.0 yang bakal berlangsung di Litar Permotoran Terengganu, Kuala Nerus akan dibuat berdasarkan aduan orang ramai.
Ketua Pengarahnya, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, pihaknya menerusi JPJ Terengganu telah mengadakan pertemuan awal bersama pihak penganjur dalam program yang berlangsung selama dua hari bermula esok.
Katanya, menerusi perjumpaan tersebut telah dinyatakan syarat-syarat yang perlu dipersetujui dalam pelaksanaan program tahunan tersebut.
“JPJ bukan sengaja cari salah, kita berlandaskan kepada peraturan sebab kita hendak jaga keselamatan awam. Kita perlu pastikan jalan raya itu selamat.
“Apa sahaja kesalahan, kita terpaksa ambil tindakan dengan kebanyakan adalah aduan daripada orang awam. Orang awam adalah kepentingan JPJ dan langkah keselamatan diambil untuk semua yang berada di Terengganu adalah selamat dan bukan setakat peserta program itu sahaja,” katanya pada sidang akhbar di JPJ Selangor, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas tohmahan segelintir pihak susulan penganjuran pada tahun lalu yang mencetuskan kontroversi apabila banyak motosikal peserta disita akibat ‘dipukat’ dalam sekatan jalan raya dilakukan JPJ dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas pelbagai kesalahan.
Kosmo! semalam melaporkan kira-kira 80,000 peminat motosikal Yamaha RXZ dijangka membanjiri Himpunan RXZ Member 6.0 di Terengganu pada hujung minggu ini.
Justeru, Aedy Fadly mengingatkan semua peserta yang berhimpun agar mematuhi jalan raya dan peraturan bagi kenderaan yang ingin dibawa dalam program tersebut.
“Kita telah berikan nasihat awal dalam perjumpaan tersebut (dengan penganjur) dan saya harap pengunjung dapat patuhi segala peraturan tersebut,” katanya.
Ketika ditanya sama ada SJR akan dilaksanakan, beliau menegaskan setakat ini ia tiada dalam perancangan pihaknya.
“Kita hendak bagi lancar kerana itu adalah program kerajaan negeri dan kita tiada nak kata ganggu atau laksanakan SJR buat masa sekarang,” katanya. -KOSMO!ONLINE