fbpx

‘Sedih, rasa kosong’ – Liyana Jasmay hadir tayangan filem tanpa ibu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
LIYANA Jasmay hiba ibu tersayang yang menjadi peminat nombor satunya selama ini tiada lagi di sisi ketika filem terbaharunya, Baik Punya Ah Long masuk pawagam.

PETALING JAYA – “Sedih insan penting dalam hidup saya sudah tiada.”

Demikian perkongsian pelakon Liyana Jasmay yang gagal menahan air mata mengenangkan memori bersama bonda tercinta, Allahyarham Datin Habsah Simpon meraikan filem terbaharu lakonannya.

Kongsi Liyana, 36, sejak dulu insan kesayangannya itu menjadi tulang belakang kerjaya seninya malah sempat menemaninya menjalani penggambaran filem Baik Punya Ah Long sebelum sakit.

“Selalunya setiap kali tayangan perdana filem lakonan saya mesti arwah mak akan teman tetapi hari ini (kelmarin) dia tiada dengan saya lagi.

“Ketika menjalani penggambaran filem ini empat tahun lalu, arwah mak masih ada tetapi waktu itu pula kami dapat tahu arwah ayah menghidap kanser paru-paru.

“Jadi, tempoh tersebut mencabar kerana filem ini bergenre komedi. Arwah ibu dan ayah pun teruja apabila tahu saya kembali bekerjasama dengan Datuk Afdlin Shauki selepas agak lama tidak membintangi filem,” katanya kepada Kosmo! Online semasa sidang akhbar filem Baik Punya Ah Long.

Dalam masa sama, pelakon filem Papadom itu bersyukur kerana adik-beradiknya mengambil alih tanggungjawab menemaninya selepas ketiadaan ibu dan bapa mereka.

“Saya sangat sedih kerana dua insan penting dalam hidup saya ini sudah tiada, kini hanya ditemani adik-beradik sahaja.

“Ketika hayatnya, arwah adalah peminat nombor satu saya,” jelasnya.

Tambah Liyana, kehilangan insan paling disayangi sememangnya memberi kesan mendalam sehingga ke hari ini.

“Bukan filem ini sahaja saya sedih apabila mereka sudah tiada, tetapi sekarang ini apa saja kejayaan yang saya capai untuk syarikat atau diri semuanya terasa kosong kerana tiada lagi mereka di sisi.

“Bagaimanapun, saya bersyukur kerana ramai yang bercakap mengenai arwah mak saya.

“Ke mana saja saya pergi, mesti ada saja yang memperkatakan hal yang baik-baik mengenainya,” tuturnya.

Pada Disember 2021, bapanya iaitu Datuk Jasmay Md Shah meninggal dunia akibat kanser paru-paru selepas bertarung dengan penyakit tersebut selama setahun.

Manakala ibunya menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat kanser limfoma tahap empat pada 12 Mei tahun lalu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI