ALOR GAJAH – Seorang pemuda maut selepas motosikal yang dia tunggang dihempap pokok tumbang ketika dalam perjalanan pulang ke rumah di Jalan Perindustrian Kelemak, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira 6.30 pagi itu, mangsa, Ikhmal Hakimi Hasrul Rizuan, 18, meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden, Ashari Abu Samah berkata, kemalangan dipercayai berlaku selepas mangsa yang menunggang motosikal jenis Benelli dalam perjalanan dari arah Alor Gajah ke rumahnya di Taman Lendu Bakti Masjid Tanah.
“Sebaik tiba di tempat kejadian, sebatang pokok telah menghempap tangki minyak motosikal mangsa menyebabkannya tercampak ke atas jalan dengan kedudukannya dengan kenderaannya ditemui sejauh 30 meter.
“Akibatnya insiden itu mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Tambahnya, difahamkan mangsa dalam perjalanan pulang ker rumahnya selepas habis syif bekerja.
Ashari berkata, mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE