Benarkah ada hadis atau sunah berkenaan Nabi SAW memakan secubit garam? Saya tidak menjumpai jawapan yang saya mahu setakat ini.
Mohon beri keterangan berkenaan hal ini. Terima kasih.
Jawapan: Riwayat yang dimaksudkan adalah berkenaan wasiat Nabi SAW kepada Saidina Ali RA dengan lafaz riwayat yang amat panjang, potongan berkenaan makan garam itu adalah seperti berikut: “Apabila kamu hendak makan, maka mulai dan akhirilah dengan garam.” (Musnad al-Harith)
Hadis ini diriwayatkan oleh Saidina Ali RA bahawa beliau berkata Rasulullah SAW menyebut hadis di atas kepada beliau. Setelah melakukan penelitian, kajian mendapati sanad hadis ini terdapat perawi yang daif iaitu al-Sariy bin Khalid, Hammad bin ‘Amru dan ‘Abd al-Rahim bin Waqid. Al-Zahabi menyebutkan bahawa ‘Abd al-Rahim bin Waqid merupakan guru kepada al-Harith bin Abi Usamah dan merupakan perawi yang daif. Dalam Mizan al-I’tidal, al-Zahabi menukilkan kritikan al-Khatib lagi yang menyebutkan bahawa hadis-hadisnya munkar kerana diriwayatkan daripada perawi dalam kalangan daif dan majhul.
Sementara itu, daripada Ibn ‘Abbas RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Tiga suap garam sebelum dan selepas makan melindungi diri anak Adam daripada 72 jenis bala antaranya penyakit gila, kusta dan sopak.
Al-Zahabi menyebutkan Abu ‘Ali ‘Abd al-Rahman bin Muhammad bin Ahmad adalah sebagai periwayat hadis, namun dia seorang syiah rafidah. Dalam jalur sanad bagi hadis ini terdapat dua orang perawi yang majhul iaitu al-Fadl bin ‘Abbas al-Khadib al-Harawi dan ‘Abdullah bin Musa bin Ziyad al-Tajiru al-Marwazi. Hal ini kerana, kedua-dua perawi ini tidak ditemui biodatanya setelah penelitian dilakukan.
Sementara itu, Ali bin al-Husain menceritakan kepadaku, ‘Ali bin Abi Talib RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Wahai Ali, makanlah garam kerana ia menjadi penawar bagi 70 penyakit seperti kusta, sopak dan gila.
Selain itu, Aisyah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda dalam hadis yang panjang: “Dan sesiapa yang memakan garam sebelum menjamah makanan dan setelah selesai makan, maka dia terselamat daripada 360 jenis penyakit yang paling ringan sakitnya ialah kusta dan sopak. Berdasarkan perbincangan para ulama berkenaan dengan hadis-hadis yang membicarakan tentang memakan garam sebelum menjamah makanan, maka dapat disimpulkan bahawa hadis-hadisnya adalah palsu. Meskipun begitu, sekiranya seseorang itu ingin mengamalkan memakan secubit garam sebelum dan selepas makan, maka ia tidaklah menjadi suatu kesalahan dengan syarat tidak menyandarkan amalan tersebut kepada Nabi SAW.