SEOUL, KOREA SELATAN – Penganjuran Dialog Pertahanan Seoul (SDD) 2024 dilihat sebagai satu pendekatan yang diambil sebagai usaha berdepan dengan cabaran keselamatan yang berlaku di peringkat antarabangsa.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, menerusi SDD 2024 itu, perbincangan akan dibuat secara bersama supaya cabaran dihadapi di satu-satu kawasan dunia dapat dihujah berasaskan kepada pengalaman masing-masing.
“Selain itu, pertemuan (bersama negara terlibat) dalam persidangan ini juga dapat memastikan diplomasi pertahanan terus dijayakan.
“Dalam soal menjaga keamanan serta memastikan wujudnya keadaan hormat bagi mana-mana negara, hubungan dengan negara bersahabat ialah sangat penting,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri SSD 2024 di sini semalam.
Terdahulu, Perdana Menteri Korea Selatan, Han Duck-Soo merasmikan pembukaan SSD 2024 di mana Mohamed Khaled merupakan antara barisan menteri daripada lapan negara antarabangsa yang dijemput bagi menyertai dialog yang memasuki edisi ke-13 tahun ini.
Bertemakan ‘Meneroka Cabaran Keselamatan dan Kerjasama Antarabangsa, Dialog Pertahanan Seoul 2024 menetapkan sasaran untuk mencapai kemajuan setara menerusi perbincangan mengenai dasar keselamatan yang dihadiri lebih 900 delegasi daripada 64 negara.
Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, diplomasi pertahanan atau pendekatan yang diambil pada sesi itu merupakan antara usaha untuk menjaga keamanan, seterusnya memastikan negara itu dihormati kawan dan lawan.
“Jadi, perhimpunan seperti ini menghimpunkan banyak negara yang terlibat dalam tanggungjawab pertahanan dapat mengangkat soal diplomasi pertahanan di sesebuah negara.
“Selain itu, kita juga berbincang mengenai isu seperti di Seoul di mana memberi penekanan kepada keadaan Indo-Pasifik iaitu keadaan sekeliling rantau ini selain cabaran dihadapi serta bagaimana mengatasi konflik.
“Jadi, atas sebab itu banyak penganjuran dialog seperti ini memandangkan soal keselamatan pertahanan tidak mampu ditangani secara sendiri berikutan sesebuah konflik turut menyebabkan negara lain terjejas,” jelasnya.
Dalam perkembangan sama, menerusi sesi di SDD 2024, Mohamed Khaled turut berkesempatan membuat kunjungan hormat kepada Menteri Negara (Hal Ehwal Pertahanan) Emiriah Arab Bersatu, Mohammed Mubarak Fadel Al Mazrouei.
Pada masa sama, Mohamed Khaled turut membuat kunjungan hormat kepada Menteri Perolehan Program Pertahanan Korea Selatan, Seok Yong Gun.
Sesi kunjungan hormat itu turut melibatkan pertemuan empat mata bersama Menteri Pertahanan Nasional Korea Selatan, Kim Yong-Hyun. – KOSMO! ONLINE