fbpx

K2

Solat jamak ketika hendak bersalin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PARA ulama berbeza pendapat dalam mengharuskan solat jamak kepada orang sakit. – Gambar hiasan

Saya mohon jawapan tentang wanita ketika sakit hendak bersalin. Bolehkah solat jamak ketika sakit hendak bersalin sama ada secara taqdim atau ta’khir terutama jika sakit tersebut berat sehingga menyukarkan pesakit bergerak untuk bersuci serta menunaikan setiap solat fardu pada waktunya?

Jawapan: Kebanyakan wanita yang hendak bersalin menghadapi kontraksi sehingga sukar untuk bergerak dan melaksanakan ibadah. Maka, timbul persoalan, bagaimanakah cara solat yang sesuai bagi wanita dalam keadaan ini dan adakah mereka mendapat keringanan (rukhsah) sama ada jamak atau qasar dalam menunaikan solat?

Para ulama berbeza pendapat dalam mengharuskan solat secara jamak kepada orang yang sakit seperti berikut:
Pendapat pertama: Ulama mazhab al-Syafi’i dan Hanafi mengatakan tidak harus jamak solat kerana sakit.
Mengikut pendapat muktamad yang masyhur dalam mazhab syafie, tidak diharuskan seseorang yang sakit
menja­makkan solat iaitu menggabungkan solat secara taqdim atau ta’khir disebabkan sakit. Hal ini kerana, perbuatan menja­mak solat ketika sakit ini tidak sabit daripada dari segi perbuatan, perkataan dan keizinan Rasulullah SAW.

Selain itu, perintah menunaikan setiap solat di dalam waktunya adalah perkara yang pasti. Oleh itu, perintah tersebut tidak boleh ditinggalkan dengan sesuatu yang bersifat kemungkinan dan tidak ada bukti jelas.

Namun begitu, ulama mazhab Syafi’i membenarkan dilakukan jamak suri di­sebabkan sakit bagi yang memerlukan dengan cara melewatkan solat pertama dengan dilakukan di hujung waktu dan mengawal solat kedua dengan ditunaikan di awal waktunya.

Pendapat kedua: Harus solat secara jamak apabila sakit menurut sebahagian ulama mazhab Maliki, Syafi’i dan Hanbali. Hal ini bersandarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Rasulullah SAW pernah melakukan jamak antara zuhur dan asar, maghrib serta isyak bukan ketika peperangan dan bukan juga disebabkan hujan.”
Hadis di atas menunjukkan sakit me­rupakan salah satu keuzuran yang membolehkannya solat jamak. Hal ini kerana sakit merupakan satu bentuk kesukaran lebih kuat daripada keuzuran hujan.

Pandangan ini dipilih oleh ulama mazhab Maliki dan Hambali yang mengharuskan jamak solat dengan sebab sakit seperti keadaan musafir. Namun, terdapat perbezaan di sisi ulama mazhab Maliki, keharusan jamak ketika sakit hanya pada jamak taqdim.

Selain itu, terdapat beberapa ulama daripada mazhab Syafi’i yang menyokong pandangan ini seperti al-Qadhi Husain yang berkata: “Harus jamak di­sebabkan sakit sama ada secara taqdim atau ta’khir. Begitu juga, menurut Ibn al-Maqriy, al-Mutawalli dan Abu Sulaiman al-Khattabi.
Malah, imam al-Nawawi secara
peri­badi menyatakan pandangan ini sangat kuat berdasarkan hadis Ibn ‘Abbas RA di atas.

Perkara ini turut disokong oleh sebahagian ulama mutaakhirin dalam mazhab syafi’i yang mengharuskan solat jamak taqdim dan ta’khir tanpa qasar bagi orang yang sakit dengan meletakkan piawaian seperti sakit yang menyukarkan pesakit untuk melaksanakan setiap solat fardu pada waktunya.

Oleh yang demikian, dalam hal ini bersalin diambil kira sebagai sakit yang berat mendatangkan masyaqqah atau kesukaran di luar daripada kebiasaan terutamanya jika wujud kesukaran untuk bersuci bagi menunaikan solat.

Hal ini bertepatan dengan firman Allah SWT: “Allah menghendaki memberi kemudahan kepada kamu semua dan Allah tidak menghendaki mendatangkan kepayahan kepada kamu.” (Surah al-Baqarah :18)
Berdasarkan kepada penjelasan di atas, dapat difahami ibu yang sakit bersalin masih tetap wajib untuk melaksanakan solat seperti biasa mengikut kemampuan.

Kesimpulannya, wanita ketika sakit hendak bersalin diharuskan solat jamak ketika sakit hendak bersalin sama ada secara taqdim atau ta’khir.
Wanita dalam keadaan ini tidak diharuskan mengqasarkan solat dalam keadaan sakit, melainkan ia berada dalam keadaan musafir. Wallahu a’lam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI