fbpx

Produk mengandungi gula dikeluarkan dari senarai diskaun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fuziah (empat kanan) bersama Ketua Setiausaha KPDN, Datuk Seri Mohd Sayuthi Bakar (tiga kanan) memegang plakad pada pelancaran Kempen Perangi Gula 'Jom Kosong' di Damansara City Mall.- Foto oleh FARIZ RUSADIO / KOSMO!

KUALA LUMPUR – Produk makanan dan minuman yang mengandungi gula bakal dikeluarkan daripada senarai Jualan Rahmah sebagai sebahagian daripada usaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam mengurangkan pengambilan gula bermula 1 Oktober depan.

Timbalan Menterinya, Fuziah Salleh berkata, usaha tersebut selari dengan kempen ‘Jom Kosong’ yang dilancarkan KPDN bersama pemain industri makanan bagi menyokong Kempen Perangai Gula yang diterajui Kementerian Kesihatan (KKM).

“Sebelum ini makanan Jualan Rahmah diberi diskaun sebanyak 10 hingga 30 peratus, jadi selepas ini barangan seperti susu pekat manis akan ditarik daripada menerima diskaun tersebut.

“Itu merupakan usaha daripada pihak KPDN melalui Jualan Rahmah,” katanya ketika sidang akhbar selepas merasmikan Kempen Perangi Gula ‘Jom Kosong Lebih Murah’ di sini hari ini.

Sementara itu, Fuziah memaklumkan KPDN bersetuju dengan langkah KKM memperkenalkan penggredan di dalam paket makanan terutama makanan yang mempunyai kandungan gula sangat tinggi.

“Bagi pihak KPDN, kita ada beberapa strategi berkenaan dengan isu perangi gula ini. Berkenaan gred makanan, kita juga setuju apabila dibentangkan berkenaan cadangan itu.

“Itu juga akan menjadi sebahagian daripada advokasi kepada pengguna kerana mereka harus tahu berapa banyak gula di dalam makanan mereka. Jadi, kami akan menyokong dari aspek kepenggunaan,” ujarnya.

Dalam pada itu katanya, KPDN merupakan kementerian pertama yang menyahut cabaran kempen kurang gula susulan pelancaran kempen Celik Kesihatan yang dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam usaha memerangi gula dari persepektif kementerian.

“Pelancaran kempen ‘Jom Kosong’ ini mendapat sokongan pemain industri makanan Small and Medium Enterprises Association (Samenta) yang mempunyai lebih 4,700 ahli di seluruh negara dan lebih 600 ahli persatuan ini merupakan operator makanan.

“Pihak Samenta mensasarkan 10 peratus daripada ahlinya akan melaksanakan kempen ‘Jom Kosong’ pada tahun ini dan 30 peratus ahlinya akan turut menyertai kempen tersebut pada tahun 2025,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI