MOSCOW – Ukraine melancarkan serangan melibatkan lebih 140 dron ke atas beberapa wilayah Russia semalaman, menyebabkan seorang wanita maut berhampiran Moscow, lapor akhbar Daily Mail kelmarin.
Serangan itu mengakibatkan semua penerbangan dihentikan dan operasi melindungi ruang udara di beberapa bahagian negara itu terpaksa dilakukan.
Kementerian Pertahanan Russia dalam satu kenyataan bagaimanapun berkata, ia telah menembak jatuh 144 dron Ukraine.
Daripada jumlah itu, sebanyak 72 dron di wilayah Bryansk ditembak jatuh, 20 di Moscow, 14 di Kursk, 13 di Tula dan 25 lagi di lima bahagian lain di negara tersebut.
Gabenor wilayah Moscow, Andrey Vorobyov berkata menerusi platform Telegram bahawa seorang wanita berusia 46 tahun terbunuh dan beberapa orang cedera.
Menurutnya, ia berlaku selepas dron itu merosakkan sekurang-kurangnya dua bangunan apartmen di daerah Ramenskoye, Moscow, kira-kira 48.28 kilometer ke tenggara Kremlin.
Video serangan itu menunjukkan api keluar dari tingkap sebuah bangunan kediaman bertingkat dengan berpuluh-puluh unit apartmen rosak teruk.
“Saya melihat dari tingkap rumah dan menyaksikan bebola api yang besar. Tingkap pecah akibat letupan,”kata seorang penduduk daerah tersebut, Alexander Li.
Operasi itu menandakan satu lagi serangan dron terbesar terhadap Russia pernah berlaku sejak permulaan perang Ukraine pada 24 Februari 2022.
Selain itu, akibat serangan tersebut, empat buah lapangan terbang termasuk hab utama Domodedovo dan Sheremetyevo di Moscow telah membatalkan atau menangguhkan penerbangan kelmarin, demikian menurut media kerajaan.
Datuk Bandar Moscow, Sergey Sobyanin mengesahkan kebakaran berlaku di landasan lapangan terbang Zhukovsky, disebabkan oleh serpihan dari dron yang jatuh.
Sebatang jalan utama menuju ke ibu negara juga ditutup sebahagiannya.
Seorang penduduk yang ketakutan memberitahu portal berita Shot: “Saya melihat bebola api (dan) berjaya melindungi isteri saya. Terdapat bunyi dentuman dan tingkap diterbangkan. Kami semua takut dan berlari dalam keadaan panik.”
Gabenor Bryansk, Aleksandr Bogomaz berkata di Telegram, pihak musuh melakukan ‘serangan pengganas secara besar-besaran’, namun tiada mangsa di wilayah itu atau kerosakan kerana ia berjaya ditangkis.
Moscow berkata, serangan itu digambarkan sebagai kejadian keganasan kerana ia menyasarkan infrastruktur awam.
Gelombang dron terbaharu itu berlaku hanya seminggu selepas Ukraine mengalami salah satu ‘hari paling gelap’ selepas dua peluru berpandu balistik Russia membunuh sekurang-kurangnya 51 orang dan mencederakan 219 lagi pada 3 September lalu.
Dalam kejadian itu, peluru berpandu tersebut mengenai sebuah pusat latihan ketenteraan dan hospital berdekatan di wilayah tengah Ukraine.
Ia menyebabkan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky berikrar bahawa Russia akan menerima akibatnya berikutan serangan yang dahsyat itu. – AGENSI