KEDAH Darul Aman FC (KDA FC) yang dipalit isu boikot latihan ekoran masalah tunggakan gaji seakan hampir pasti bakal mempertaruhkan pemain ‘mentah’ bagi hadapi Kuala Lumpur City di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Sabtu ini.
Berdasarkan perkongsian di laman media sosial rasmi, rata-rata pemain yang menyertai sesi latihan pasukan adalah ‘muka muda’ berbanding skuad utama dimiliki pasukan itu.
Keadaan sukar itu meletakkan kelab dari utara tanah air berkenaan dalam situasi tersepit dan langkah menurunkan pemain dari skuad lebih bawah adalah jalan terbaik bagi mengelak berdepan hukuman kerana menarik diri.
Untuk rekod, awal musim ini Selangor pernah dikenakan hukuman oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) kerana keputusan kelab itu tarik diri pada aksi Piala Sumbangsih.
Perkongsian pemain yang enggan mendedahkan namanya sebelum ini menyebut, skuad KDA FC mungkin tidak akan turun beraksi menentang KL City FC jika kemelut pembayaran gaji tidak dapat diselesaikan.
Jika andaian ini menjadi realiti, keadaan ini pasti akan mengikis kepercayaan peminat terhadap pengurusan dan mampu jejaskan harapan besar peminatnya untuk melihat kebangkitan semula Helang Merah.
Sebelum ini juga, KDA FC sudah pun dikenakan hukuman pemotongan tiga mata selepas kegagalan kelab itu menyelesaikan tunggakan gaji bagi tahun 2023.
Ketika ini, skuad Helang Merah berada di tangga kelapan Liga Super dan usaha untuk mendapatkan komen daripada ketua jurulatihnya, Nafuzi Zain juga gagal.