PUTRAJAYA – Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil enggan mengulas lanjut mengenai tindakan tiga penyampai radio Hot FM yang mempersenda dengan meniru gaya ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam.
Fahmi berkata, beliau menyerahkan perkara itu kepada syarikat naungan stesen radio itu.
“Ini (isu ini) boleh rujuk dengan Media Prima, ia bukan agensi saya,” katanya ringkas selepas ditanya wartawan pada sidang akhbar pasca mesyuarat Kabinet di sini, hari ini.
Sebelum ini, tiga penyampai radio Hot FM iaitu Khairy Jamaluddin, Fara Fauzana dan Johan Raja Lawak mendapat kecaman dan kritikan selepas mereka dikatakan memerli gaya ucapan Perdana Menteri.
Pengguna media sosial menganggap tindakan penyampai radio itu dikira tidak wajar dilakukan sebagai seseorang yang menjadi ikutan masyarakat.
Sebagai rekod, Khairy pada segmen Bekpes Hot Isnin lalu mengajuk ungkapan Anwar dengan berkata: “Hari ini saya menang… esok, kita makan ramai-ramai,”. – KOSMO! ONLINE