fbpx

Potensi industri padi tarik minat orang muda, tangani cabaran elak hasil merosot

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Adib (kanan) mendapat bimbingan daripada kakitangan BERNAS untuk menambah baik hasil sawah di Kampung Hujung di Telok Kechai, Alor Setar, Kedah baru-baru ini.

ALOR SETAR – Sejak dari kecil, Mohd. Adib Hasanain Ahmad, 30, yang berasal dari Telok Kechai, Jalan Kuala Kedah, dekat sini, sudah didedahkan dengan kerja-kerja di sawah oleh bapanya, Ahmad Husin.

Sebagai anak pesawah dan satu-satunya anak lelaki dalam keluarga, Mohd. Adib menjadi orang harapan untuk mengusahakan kira-kira 14 hektar sawah milik bapanya itu.

Meneruskan legasi keluarga sebagai pesawah

Tanpa berdolak-dalik, anak bongsu daripada enam beradik itu mula serius mengusahakan sawah pada usia 17 tahun dan tanggung jawab tersebut semakin berat setelah bapanya meninggal dunia pada 2017.

Menurut Mohd. Adib, selain mahu meneruskan legasi arwah bapa, dia sememangnya amat meminati bidang pertanian dan berazam untuk mengusahakannya sehingga berjaya.

“Selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), saya usahakan sawah secara serius dan Alhamdulillah pendapatan yang diperoleh berbaloi, jadi saya nekad untuk terus bersungguh-sungguh dalam bidang ini,” katanya ketika ditemui di Kampung Hujung, Telok Kechai di sini baru-baru ini.

Kata bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Laksamana itu, dia memperoleh pendapatan kira-kira RM140,000 semusim hasil tuaian 19 hektar sawah yang kini diusahakannya.

Cabaran pesawah muda

Meskipun terdapat peluang untuk menjana pendapatan yang baik dalam bidang pertanian terutama kepada orang muda, namun ada banyak cabaran perlu ditempuhi dan ditangani dalam memastikan hasil diperoleh meningkat dan berkualiti.

“Cabaran utama adalah kos input pertanian yang tinggi terutama harga diesel. Rata-rata pesawah kini bimbang apabila perlu berhadapan dengan kenaikan upah mesin me­nuai padi dan membajak susulan penstrukturan subsidi diesel pada Julai lalu,” ujarnya.

Katanya, pada masa sama pesawah terpaksa menerima penetapan harga lantai belian padi yang rendah menyebabkan pendapatan diperoleh berkurangan.

“Jadi, sebagai pesawah muda, saya berharap agar harga lantai belian padi dapat dinaikkan bagi mengimbangi kenaikan kos mengusahakan sawah ketika ini,” jelasnya.

Dron boleh digunakan untuk memudahkan urusan penaburan benih padi, baja dan aktiviti meracun serangga dengan lebih cekap dan berkesan.

Di samping itu, ujarnya, pesawah juga terdedah dengan risiko kemerosotan hasil disebabkan cuaca tidak menentu sejak kebelakangan ini serta serangan penyakit dan makhluk perosak.

“Baru-baru ini, padi di beberapa kawasan sawah di negeri ini kurang menjadi kerana cuaca terlalu panas dan kering. Bagi menangani isu itu, sistem pengairan perlu dalam keadaan terbaik kerana proses penanaman padi sangat bergantung kepada air.

“Angin kencang atau ribut juga boleh menyebabkan masalah padi rebah. Hujan lebat berterusan pula boleh mengakibatkan kawasan sawah dilanda banjir, sekali gus mampu menjejaskan hasil,” katanya.

Mohd. Adib berkata, cabaran-cabaran itu menyebabkan hasil diperoleh tidak setimpal dengan kos dan usaha yang telah dicurahkan untuk mengusahakan sawah.

“Saya percaya kebanyakan orang muda tidak mahu menjadi pesawah kerana mempunyai persepi bahawa pertanian adalah industri tradisional berpendapatan rendah selain hasil tuaian yang tidak konsisten.

“Ia sekali gus menjadi antara faktor pesawah terutama orang muda lebih memilih untuk bekerja dalam bidang lain yang mempunyai pendapatan tetap setiap bulan,” ujarnya.

Sokongan kerajaan dan BERNAS

Di sebalik cabaran-cabaran itu, katanya, dia mampu bertahan dan mampu menjadikan sawah sebagai sumber rezeki dengan sokongan dan bantuan daripada pihak kerajaan.

“Sokongan kewangan menerusi pemberian subsidi termasuk subsidi input oleh kerajaan menerusi agensi dan rakan strategik sangat kami hargai.

“Pihak BERNAS berperanan menguruskan Skim Subsidi Harga Padi serta sering mengunjungi sawah padi untuk menjalankan rutin pemantauan dan memberi khidmat nasihat agronomi untuk meningkatkan hasil padi. BERNAS juga menyediakan jentera pertanian dan peralatan canggih kepada petani untuk meningkatkan kecekapan ketika melakukan kerja-kerja menanam padi, ujarnya.

Dalam pada itu, Mohd. Adib berkata, kerja-kerja di sawah kini tidak seperti dulu yang mana pesawah perlu membanting tulang.

“Saya guna dua dron yang mana penggunaan teknologi itu menjadikan kerja-kerja menabur benih dan baja serta meracun menjadi lebih mudah, cepat, berkesan dan sekata berbanding guna tenaga manusia. Saya juga menggunakan sebuah jentera pembajak untuk memudahkan kerja-kerja membajak.”

Mohd. Adib bercadang untuk menambah jumlah dron pada masa depan bagi memperkukuh daya saing dan meningkatkan kualiti hasil padi.

“Dua dron dan jentera pembajak ini juga saya sewakan kepada pesawah lain yang mahu menggunakannya dan ia secara tidak langsung dapat menambah pendapatan saya,” katanya.

Sementara itu, beliau turut berkata penglibatan­nya sebagai pesawah turut memberi peluang pekerjaan kepada rakan-rakan yang lain dengan mengupah mereka mengendalikan dron dan jentera pembajak.

“Saya mempunyai enam rakan dan mereka turut membantu mengusahakan sawah di sini. Tenaga orang muda ini sangat diperlukan bagi menjadi pelapis kepada golongan pesawah yang sudah berusia,” jelasnya.

Katanya lagi, dia sama sekali tidak menyesal terlibat di dalam industri padi dan mempunyai perancangan untuk menambah keluasan sawah dan menambah dron serta jentera pembajak.

Beriltizam memperluas dan meningkatkan pengeluaran padi

Menurutnya, dia berazam untuk meningkatkan lagi hasil padi dengan menjadi sebahagian daripada Program Pemantauan Ladang BERNAS bagi mendapatkan sokongan dan khidmat nasihat.

“BERNAS membuat pemantauan termasuk menerusi pelaksanaan Jadual Kerja Ladang, memberi bantuan kewangan untuk menampung sebahagian kos input, buat pemantauan berkala mengikut fasa pertumbuhan padi serta membantu mengesan penyakit,” tambahnya.

Bagi mereka yang berminat dan mahu mengetahui lebih lanjut tentang industri padi dan beras selain pertanian moden dan teknologi baharu boleh mengunjungi Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan (MAHA) 2024 yang akan diadakan di Taman Eks­po Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang di Selangor pada 11 hingga 22 September.

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI