PETALING JAYA – Hari ini, tanggal 11 September merupakan ulang tahun ke-25 tahun buat kanak-kanak yang dibunuh kejam 16 tahun lalu, Nurin Jazlin Jazimin.
Ucapan hari lahir itu dimuat naik oleh bapa Allahyarhamah, Jazimin Abdul Jalil menerusi akaun Facebook dan TikToknya, hari ini.
Dalam hantaran tersebut, Jazimin berkongsi gambar Nurin Jazlin yang ketika itu berusia lapan tahun beserta tulisan ’11 September 1999, Al-Fatihah’.
Tinjauan Kosmo! mendapati, ramai yang membanjiri ruangan komen dengan ucapan hari lahir beserta takziah sekali gus turut mendoakan semoga keadilan dapat ditegakkan buat kematian Allahyarham.
“Al-Fatihah. Dah 25 tahun rupanya Arwah. Kisah tragis yang amat menyayat hati,” komen Dania.
“Al-Fatihah untuk arwah. Semoga ada sinar keadilan suatu hari nanti. Amin,” komen Adi Azri.
“Selamat hari lahir Nurin, semoga tenang dan bahagia di taman Syurga. Tarikh kelahiran kita sama,” komen Yatt pula.
Nurin, yang juga anak kedua daripada tiga beradik kepada pasangan Jazimin Abdul Jalil dan Norazian Bistaman diculik pada 20 Ogos 2007 ketika dia meninggalkan rumah sendirian untuk menuju ke pasar malam di Wangsa Maju.
Kegagalannya pulang menyebabkan adik-beradik serta ibu bapanya cemas dan tertekan.
Pada pagi 17 September 2007, mayatnya ditemui dalam beg sukan di Petaling Jaya.
Siasatan kemudiannya mengesahkan bahawa dia dirogol dan dibunuh.
Pada 2018, bapa Nurin menggesa pegawai polis membuka semula kes pembunuhan anaknya itu dengan harapan dapat mencari sesuatu yang baharu dengan penggunaan teknologi moden tetapi rayuannya tidak pernah dikabulkan.
Identiti penyerang masih bebas dan kes masih belum selesai sehingga hari ini. – KOSMO! ONLINE