KOTA BHARU – Seorang pemandu lori dicekup selepas didapati membawa sebanyak 5 tan karkas babi seludup di Jalan Tuan Guru Nik Abdul Aziz di sini, semalam.
Rampasan bernilai RM204,800 itu dilakukan oleh sepasukan anggota Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) menerusi Op Taring Chiller di negeri ini.
Komander Batalion 9 PGA, Senior Asisten Komisioner Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, anggota PGA menahan sebuah lori jenis Mitsubishi selepas melihat ia dipandu dalam keadaan mencurigakan.
Menurutnya, pemeriksaan terhadap lori itu kemudian menjumpai 5 tan karkas babi yang dipercayai diseludup dari Thailand.
“Pemandu lori itu tidak mempunyai dokumen sah untuk membawa barangan tersebut.
“Siasatan lanjut mendapati, lelaki warga tempatan itu berperanan sebagai ‘transporter’ atau penghantar karkas tersebut sebelum ia di jual untuk pasaran tempatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Nik Ros Azhan memberitahu, suspek bersama lori dan kesemua barang rampasan diserahkan kepada Balai Polis Pengkalan Chepa untuk tindakan lanjut.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953. – KOSMO! ONLINE