PETALING JAYA – “Emak rindu ‘Abang Bas’, beberapa hari ini tak ada dah Abang Bas nak gomol-gomol emak, baring dalam bilik emak sembang-sembang sambil selongkar bilik emak”.
Demikian luahan yang dikongsikan kakak kepada pemandu bas dikenali sebagai ‘Abang Bas’, Zarina Sari dalam satu hantaran di Facebooknya, semalam.
Kata Zarina, ibu mereka sedang menanggung rasa rindu setelah beberapa hari tidak dapat bergurau senda dengan anak lelakinya itu.
Zarina juga menyifatkan ‘Abang Bas’ sebagai seorang pak cik yang penyayang serta paling disayangi oleh anak-anak saudara.
“Abang Bas pak cik terpaling sayang anak-anak buah dia. Dari anak buah yang sulung sekarang dah meningkat remaja 19 tahun pun masih boleh bergurau, berkejar satu rumah, inikan pula empat tahun.
“Ya Allah, engkau ampunilah khilaf Abang Bas, engkau angkatlah dosa-dosanya dan permudahkan urusannya menghadapi ujianmu,” luahnya.
Katanya lagi, biarpun ramai individu melemparkan kata-kata hinaan terhadap adiknya, namun dia berharap agar pemuda itu tetap istimewa disisi Allah SWT.
“Hanya engkau yang maha mengetahui ya Allah,” katanya.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan ‘Abang Bas’ yang sebelum ini tular memuat naik rakaman video penumpang bas sekolah sebagai ‘crush’ atau ‘kesayangan’ menangis selepas didakwa di Mahkamah Sesyen Muar, semalam atas dua pertuduhan melakukan amang seksual kanak-kanak, sejak April lalu.
Tertuduh yang berusia 24 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Sayani Mohd. Nor sambil dilihat hanya menunduk serta mengesat air matanya ketika rayuan jaminan dibuat.
Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Abdul Ghafar Ab. Latif mencadangkan jaminan sebanyak RM50,000 dikenakan bagi setiap pertuduhan dengan mengambil kira kes tersebut mendapat perhatian umum yang telah memberi bermacam-macam komen serta gesaan terhadap pihak berkuasa untuk mengambil tindakan.
Peguam Umar Zulkarnain yang mewakili tertuduh bagaimanapun merayu agar jaminan rendah diberikan dengan alasan anak guamnya tidak mempunyai gaji tetap kerana hanya bekerja sebagai pemandu bas sekolah serta jumlah jaminan adalah bertujuan bagi memastikan kehadiran dan tidak boleh keterlaluan sehingga membebankan tertuduh.
Selepas mendengar rayuan kedua belah pihak, Sayani kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM30,000 bagi kedua-dua pertuduhan dan bersetuju dengan syarat tambahan dipohon pihak pendakwaan.
Beliau kemudian menetapkan tarikh 10 Oktober ini untuk sebutan sebulan kes serta serahan dokumen. – KOSMO! ONLINE