PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman dua individu termasuk seorang pegawai kanan bergelar Datuk kerana disyaki menyeleweng dana kerajaan berjumlah kira-kira RM400,000.
Perintah reman selama empat hari sehingga Jumaat terhadap suspek lelaki bergelar Datuk berusia dalam lingkungan 50-an dan lelaki lingkungan usia 30-an direman dua hari bermula hari ini.
Perintah reman berkenaan dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi.
Bagaimanapun, seorang lagi suspek lelaki berusia lingkungan 40-an yang juga penjawat awam yang turut ditahan tetapi dibebaskan dengan jaminan SPRM.
Sumber memaklumkan, ketiga-tiga suspek ditahan malam semalam.
“Pegawai kanan kementerian bergelar Datuk ialah Setiausaha Bahagian yang bertanggungjawab mengawal selia salah sebuah agensi Badan Berkanun Kerajaan.
“Dua individu lain merupakan pegawai khas dan pemandu lelaki bergelar Datuk itu,” katanya hari ini.
Menurutnya, suspek utama dipercayai melakukan perbuatan tersebut baru-baru ini dengan mengemukakan kertas cadangan program tersebut untuk kelulusan peruntukan dan kemudiannya disalurkan kepada sebuah agensi kerajaan berkaitan.
“Suspek turut disyaki berpakat dengan orang dalam agensi kerajaan tersebut dan mengeluarkan wang peruntukan tersebut secara tunai yang bernilai ratusan ribu ringgit dan kemudiannya digunakan untuk keperluan peribadi,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan penahanan berkenaan dan kes disiasat di bawah seksyen 23 Akta SPRM 2009. – KOSMO! ONLINE