BACHOK – Kementerian Dalam Negeri (KDN) merampas sebanyak 24,805 naskhah bahan al-Quran tanpa tapisan yang dikesan melanggar Akta Pencetakan Teks al-Quran (APTQ) di seluruh negara bermula Januari hingga Ogos lalu.
Setiausaha Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan KDN, Nik Yusaimi Yussof berkata, rampasan bernilai lebih RM3.4 juta itu dilakukan menerusi 219 Op Mulia di pelbagai premis.
Menurutnya, pemeriksaan mendapati, kesemua mushaf al-Quran itu tidak memiliki cop kebenaran dan hologram KDN.
“Lebih 90 peratus mushaf atau naskhah itu mempunyai kesilapan selepas disemak Lajnah Tasheh al-Quran KDN. Kita mempunyai jawatankuasa tapisan dalam kalangan pakar yang perli dirujuk oleh pencetak dan pengedar al-Quran.
“Daripada jumlah itu sebanyak 1,300 teks dan bahan al-Quran bernilai RM26,000 telah dirampas menerusi 15 siri pemantauan dan penguatkuasaan di Kelantan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Hifz al-Quran: Wakaf Ibtida’ peringkat Kelantan di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Bachok, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Nik Yusaimi memberitahu, Op Mulia yang dijalankan itu bertujuan menyokong misi sifar al-Quran yang tidak memiliki perakuan KDN selain menyekat pengedaran mushaf tanpa tapisan dan memiliki kesilapan.
Menurutnya, sehingga kini, terdapat 985 jenis cetakan al-Quran di pasaran yang memiliki perakuan KDN. – KOSMO! ONLINE