fbpx

Bunuh ibu tunggal anak tujuh, bekas tentera terlepas hukuman mati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kakitangan Penjara mengawal ketat sebahagian banduan akhir ketika dibawa bagi mendengar semakan hukuman mati di Kompleks Mahkamah Alor Setar, hari ini. - Foto oleh SHAHIR NOORDIN

ALOR SETAR – Mahkamah Persekutuan hari ini mengenepikan hukuman gantung sampai mati terhadap seorang bekas anggota tentera atas kesalahan membunuh seorang ibu tunggal anak tujuh, 10 tahun lalu.

Keputusan itu dibuat panel tiga hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat ketika bersidang di sini hari ini bersama Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nordin Hassan.

Muhammad Yusyairi Saidin, 47, yang kini menjalani hukuman di Penjara Pokok Sena itu dijatuhi hukuman penjara 38 tahun dari tarikh dia ditangkap pada 31 Oktober 2014 dan 12 sebatan.

Berdasarkan pertuduhan, Muhammad Yusyairi didapati bersalah membunuh Hasma Norlela Zaini, 53, di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Gunung Inas di Baling, dekat sini antara pukul 2.30 hingga 7 pagi, 21 September 2014.

Peguam, Hasnan Hamzah yang mewakili Muhammad Yusyairi memohon agar mahkamah mengenepikan hukuman mati itu dengan digantikan hukuman penjara 33 hingga 35 tahun.

Sementara Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Yusaini Amir Abdul Karim berkata, pihak pendakwaan tidak membantah pindaan hukuman mati itu, namun memohon mahkamah menjatuhkan hukuman penjara sehingga 40 tahun, mengambil kira perbuatan pemohon terhadap mangsa ketika kejadian.

“Terdapat 17 tikaman pada badan mangsa termasuk empat daripadanya pada bahagian leher yang menyebabkan kematiannya,” katanya.

Berdasarkan fakta kes, mayat ibu tunggal tersebut yang juga kekasih pemohon ditemui tertiarap dalam keadaan tanpa pakaian dengan kesan luka pada anggota badan.

Bedah siasat mendapati terdapat sekurang-kurangnya 17 luka tikaman pada anggota badan mangsa dan ekoran itu, suspek yang berusia 36 tahun ketika kejadian ditahan di sebuah kem dekat Perak pada September 2014.

Tiada kelibat anggota keluarga Muhammad Yusyairi di galeri awam sepanjang persidangan itu berlangsung. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI