KUALA LUMPUR- “Dia (anak) lebih suka seperti ini.”
Demikian respons penyanyi Datuk Seri Rossa yang mendedahkan anak tunggalnya, Rizky Langit Ramadhan enggan dia dan bekas suami, Yoyo rujuk semula sebagai suami isteri.
Dalam masa sama, Rossa atau nama lengkapnya Rossa Roslaina Handiyani, 46, juga lebih selesa kekal bersahabat dengan pemain dram kumpulan Padi itu sekali gus menganggapnya seperti abang.
“Saya secara peribadi sudah tiada rasa (cinta) dengannya, tetapi hanya lebih kepada keluarga.
“Rizky juga tidak pernah memaksa kami untuk kembali hidup bersama, bahkan hubungan kami lebih baik sekarang.
“Saya dan Yoyo seperti abang dan adik. Kami sekarang harmoni sebagai sebuah keluarga,” katanya kepada Kosmo! Online semasa sidang media All Access to Rossa 25 Shining Years di Pavillion, semalam.
Dalam filem dokumentari tersebut, Rossa, Rizky dan bekas suaminya itu terbuka membongkar kisah lampau mereka.
Tambahnya lagi, Yoyo atau Surendro Prasety merupakan individu terakhir yang bersetuju untuk terlibat dalam filem dokumentari terbabit.
“Yoyo mengambil masa beberapa hari bersetuju untuk mendedahkan kisah peribadi kami dalam dokumentari ini.
“Kenapa baru didedahkan sekarang adalah kerana perkara ini tidak lagi merugikan mana-mana pihak.
“Kami berdua sudah bertenang dan saya juga mahu memastikan Rizky bersedia untuk berkongsi perasaan mengenai perceraian kami,” ujarnya.
Bagaimanapun, pelantun lagu Hati Yang Kau Sakiti menyatakan isu perceraian mereka tidak dikongsi sepenuhnya hanya memberikan fokus terhadap karier seni sepanjang 25 tahun dalam industri hiburan.
Sebelum ini, Rossa mendedahkan kisah rahsia besar rumah tangganya iaitu menerima berita bakal diceraikan Yoyo ketika bersedia untuk di pentas sebuah konsert yang berlangsung di Kuala Lumpur.
Setahun sebelum perceraian difailkan, hakikatnya mereka sudah tinggal berasingan.
Rossa dan Yoyo mendirikan rumah tangga pada 2004 namun ikatan pernikahan mereka hanya mampu bertahan selama lima tahun.
Hasil perkahwinan mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Rizky Langit Ramadan yang kini berusia 18 tahun. – KOSMO! ONLINE