fbpx

Mindef sokong inisiatif PBB teliti penggunaan AI jaga keamanan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamed Khaled (kiri) ketika mengadakan pertemuan bersama Nakamitsu (kanan) di Seoul, hari ini.

SEOUL, KOREA SELATAN – Kementerian Pertahanan (Mindef) menyokong usaha dan inisiatif Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mengkaji dan meneliti penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) sebagai penjaga keamanan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ini kerana teknologi AI semakin banyak digunakan dalam bidang ketenteraan di seluruh dunia.

“Selepas pertemuan bilateral dengan pihak PBB hari ini, mereka akan membawa isu ini ke peringkat PBB untuk meneliti keberkesanan penggunaan teknologi AI dalam operasi ketenteraan.

“Perkara ini akan menjadi tumpuan utama dalam mesyuarat dan perbincangan PBB yang akan datang dalam tempoh dua bulan ini,” katanya kepada pemberita selepas selepas menghadiri sesi hari pertama Sidang Kecerdasan Buatan (AI) yang Bertanggungjawab dalam Bidang Ketenteraan (REAIM) 2024, di sini hari ini.

Terdahulu, Mohamed Khaled mengadakan mesyuarat tertutup bersama Wakil Tinggi PBB bagi Hal Ehwal Perlucutan Senjata, Nakamitsu Izumi.

Turut hadir dalam mesyuarat itu, Ketua Staf Markas Angkatan Tentera Malaysia, Lt Jen Datuk Arman Rumaizi Ahmad.

Sementara itu, menerusi hantaran Facebook Mohamed Khaled, katanya, Malaysia sentiasa memastikan kerjasama erat dengan PBB dan negara anggotanya dalam hal berkaitan teknologi, AI mahupun keselamatan.

“Meskipun persidangan kemuncak ini merupakan satu platform yang sangat baik dalam membincangkan tentang AI pertahanan, namun ia berfungsi di luar rangka kerja PBB.

“PBB sebagai satu-satunya organisasi sejagat perlu memastikan wujudnya perbincangan dalam soal AI di peringkatnya, terutamanya bagi mewujudkan rangka kerja yang objektif dan tidak berat sebelah,” katanya.

Jelasnya, semua negara anggota perlu mempunyai akses yang saksama kepada teknologi baharu bagi memastikan tidak wujudnya jurang teknologi antara negara.

Jelasnya, pembinaan kapasiti akan memastikan semua negara anggota dapat memanfaatkan kemajuan AI dan teknologi-teknologi baharu yang lain. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI