fbpx

Budak 5 tahun mati didera pengasuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Seorang kanak-kanak perempuan mati dipercayai didera pengasuhnya di sebuah kondominium di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur semalam.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada pukul 2.45 petang sebelum sepasukan polis dikerahkan ke lokasi.

Kata beliau, pemeriksaan di sebuah unit kondominium itu pihak polis menemui seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun dalam keadaan terbaring lengkap berpakaian di atas katil.

“Mangsa tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di tempat kejadian.

“Hasil pemeriksaan ke atas mangsa mendapati ada kesan calar dan lebam pada beberapa bahagian badan dan kaki,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Menurutnya lagi, susulan itu, pihak polis menahan pengasuh serta dua anak lelakinya.

“Ketiga-tiga suspek berusia lingkungan 22 hingga 61 tahun itu akan direman pagi ini bagi membantu siasatan.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur dan proses bedah siasat dijangka esok,” ujarnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI