fbpx

‘Isteri bersungguh-sungguh mahu pulang ke kampung, rindu ibu’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR kenangan AZUAN Omar bersama allahyarhamah isteri dan anaknya yang maut dalam kejadian kemalangan di Kilometer 34 Jalan Maran-Jengka di Maran hari ini.

MARAN – Suami kepada Allahyarhamah Noraini Ali, 42, yang maut dalam kejadian kemalangan di Kilometer 34 Jalan Maran-Bandar Jengka di sini pagi tadi sempat menunaikan hasrat isterinya untuk pulang ke kampung di Rusila, Kuala Terengganu.

Azuan Omar berkata, arwah begitu bersungguh-sungguh untuk peluang ke kampung asalnya sempena cuti Sabtu dan Ahad kerana terlalu rindu dengan ibunya yang tinggal keseorangan di Kampung Rusila selain teringin makan nasi dagang Terengganu serta keropok lekor.

Katanya mereka sekeluarga iaitu anaknya Anis Sofia,18, Azri Danial,16, Ammi Arisya,14, dan anak bongsu Aufa Medina,7, yang turut maut dalam kejadian itu berada dua hari di Kampung Rusila yang menjadi kenangan indah dalam kehidupan mereka.

“Kami baru pulang ke Felda Jengka pukul 2 malam tadi selepas menunaikan hajat berkumpul dengan keluarga di kampung, namun takdir menentukan segalanya apabila dua daripada kami kembali menemui sang pencipta.

“Anak bongsu yang menjadi permata hati sangat manja malah pada malam tadi dia minta tidur dengan ibunya dan tidur secara berpelukan. Biasanya Aufa Medina sebilik dengan dua kakaknya di bilik lain,”katanya di sini hari ini.

Azuan yang merupakan anak peneroka Felda Jengka 2 reda dengan kejadian itu walaupun amat perit kehilangan dua orang kesayangan dalam masa sekelip mata.

Katanya, dia tidak dapat melupakan arwah isteri dan anak yang mencium tangannya pagi tadi sebelum ke Sekolah Kebangsaan (LKTP) Jengka 3.

Dia memberitahu semasa kejadian Noraini yang bekerja sebagai kerani SK (LKTP) Jengka 3 memandu Perodua Alza membawa Aufa Medina yang belajar dalam darjah satu di sekolah berkenaan.

Dalam pada itu, Ira Maila Mat Jusoh,48, dari Felda Jengka 3 pula mengakui semangatnya bagaikan hilang apabila mendapat tahu anaknya Nik Nurien Haziqah Nik Ibrahim,13, turut maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan.

“Kereta Toyota Avanza yang dipandu anak kedua Nik Mohd Shahir Asrol,28, dalam perjalanan menghantar adiknya belajar dalam Tingkatan Satu di SMK Jengka 2 dan menjadi rutin mereka berulang alik dari Jengka 3 ke Jengka 2 pada hari persekolahan.

“Sebagai ibu saya dapat merasakan perubahan arwah yang berubah pendiam walaupun sebelum ini dia seorang banyak cakap, pelukan dan cium lama serta renungan sayu sebelum ke sekolah rupanya pagi tadi rupanya ‘tanda selamat tinggal’,”katanya.

Sementara itu Pengarah Pendidikan Pahang, Amzan Abd.Malek yang menyantuni keluarga mangsa di perkarangan unit Forensik Hospital Jengka memaklumkan setiap pelajar secara automatik dilindungi insurans. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI