MANCHESTER – Bekas pemain Manchester United, Nicky Butt memuji aksi luar biasa dipamerkan pemain muda kelab itu, Kobbie Mainoo dan memberi amaran kepada pihak pengurusan supaya bersedia dengan segala kemungkinan.
Menurutnya, sekiranya Mainoo terus kekal mempamerkan aksi terbaik, Mainoo bakal menjadi buruan banyak kelab terutama seteru-seteru United di Liga Perdana England selepas dia mula beraksi bersama skuad utama sejak Januari 2023 selepas menyertai akademi kelab itu ketika berusia tujuh tahun.
Selain berjaya mengekalkan kedudukannya dalam kesebelasan utama skuad kendalian Erik Ten Hag, Mainoo turut menjadi pilihan Lee Carsley yang mengemudi England apabila dia diturunkan selama 77 minit ketika perlawanan menentang Republik Ireland kelmarin.
“Dia adalah pemain berstatus hebat ketika ini. Saya mengenalinya agak lama, sejak dia masih kecil. Dia memiliki tabiat pemain muda yang bagus serta kemampuan dan kaki yang begitu baik. Itu sudah pasti menyebabkan dia menjadi pemain yang sangat diinginkan oleh banyak kelab,” katanya.
Mengulas mengenai prestasi United selepas tiga perlawanan musim ini, Butt berharap hierarki tertinggi di kelab itu terus memberikan kepercayaan kepada Ten Hag untuk membentuk pasukan yang lebih baik musim ini.
“Tidak ada gunanya kita memecat pengurus sedia ada jika tidak ada pengganti yang akan datang. Banyak pasukan melakukannya (memecat pengurus) kerana pasukan tidak berjalan lancar, tetapi mereka tidak ada sasaran jelas dan kemudian tersilap melantik orang baharu.
“Saya lebih sanggup memberinya masa, musim ini baru bermula, hanya tiga perlawanan. Berikan beliau sedikit lagi masa,” jelasnya. – AGENSI