fbpx

Kim Kardashian, bekas suami antara penerima dana 1MDB – ketua penyiasat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Nama pempengaruh dan selebriti mega Hollywood, Kim Kardashian dan bekas suaminya, Kris Humphries disebut-sebut di Mahkamah Tinggi di sini hari ini selaku pihak yang menerima wang berjumlah AS$406,000 milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Penyiasat penipuan kewangan, Richard Templeman berkata, wang itu didakwa dipindahkan oleh ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low kepada Kim sebanyak AS$306,000 manakala AS$100,000 lagi kepada selebriti itu dan bekas suaminya.

Beliau yang mengetuai siasatan penyelewengan dana 1MDB dan SRC International berkata, Jho Low yang didakwa menjadi dalang di sebalik penipuan kewangan global turut memindahkan AS$2,025,000 kepada penyanyi dan komposer Amerika Syarikat, Pharrell Williams melalui Talamasca Inc.

“Siasatannya mendedahkan bahawa Jho Low memindahkan berjuta-juta dolar, yang didakwa diterima daripada 1MDB, melalui syarikat samarannya, Good Star Ltd.,” ujar beliau dalam pernyataan saksinya.

Perkara itu didedahkan ketika memberikan keterangan daripada pejabatnya di United Kingdom (UK) dalam kes saman AS$6.59 bilion yang difailkan oleh 1MDB terhadap bekas pengerusinya, Tan Sri Mohd. Irwan Serigar Abdullah dan bekas Ketua Pegawai Eksekutifnya, Arul Kanda Kandasamy.

Richard mempunyai pengalaman 24 tahun dalam menyiasat penipuan jenayah kewangan yang kompleks memberi keterangan sebagai saksi plaintif pertama pada prosiding perbicaraan yang dijalankan melalui aplikasi Zoom.

Richard berkata, Jho Low memperoleh dana itu daripada perjanjian usaha sama di antara 1MDB dengan PetroSaudi Limited, di mana AS$1.03 bilion telah diseleweng dan dipindahkan secara curang kepada Good Star.

Beliau berkata, dana itu dipindahkan melalui beberapa siri kepada syarikat luar pesisir dan digunakan untuk, antara lain, manfaat peribadi rakan konspirasi, saudara-mara dan sekutu mereka.

“Good Star juga memindahkan AS$13.5 juta ke akaun Bank Riyad atas nama Putera Faisal Bin Turki Al-Saud dan Putera Saud Bin Abdulaziz Al-Saud (dikenali sebagai akaun Al-Saud) dalam dua peringkat, iaitu AS$12 juta pada 10 Jun 2011, dan AS$ 1.5 juta pada 30 Jun 2011.

“Pada 13 Jun 2011, sejurus selepas menerima AS$12 juta daripada Akaun Good Star, AS$10 juta dipindahkan daripada Akaun Al-Saud ke akaun AmBank (AmPrivate Banking-MR) milik Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Saya menyemak penyata bank untuk akaun AmBank Najib dan dapat memadankan kira-kira jumlah masuk dalam Ringgit Malaysia dengan transaksi yang dinyatakan dibayar dalam Dolar AS dengan menggunakan penukaran mata wang,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI