ABDUL RASHID ABDUL RAHMAN
MARAN – Laluan Lebuh Raya Pantai Timur (LPT-1) dari Kuantan ke Kuala Lumpur ditutup selepas dinaiki air susulan hujan lebat berterusan.
Menurut kenyataan Anih Berhad, laluan sepanjang satu kilometer di Kilometer 198 LPT1, antara persimpangan bertingkat Sri Jaya dan Persimpangan Bertingkat Gambang dinaiki air sedalam 0.6 meter.
“Sehubungan itu pengguna yang ingin ke Kuantan dan Kuala Lumpur dimohon menangguhkan dahulu perjalanan anda buat sementara waktu.
“Syarikat turut ingin menasihatkan orang ramai agar mengikuti status dan perkembangan menerusi saluran rasmi Anih melalui twitter @LPTTrafik dan Facebook @Lebuhraya Pantai Timur untuk status terkini keadaan trafik dan lebuh raya,”katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Menurutnya, Anih melakukan pemantauan berterusan di sepanjang LPT1 bagi memastikan keselamatan dan keselesaan pengguna. -K! ONLINE