fbpx

‘Sejak bertudung, saya belum dapat sebarang tawaran berlakon’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Angeline Tan percaya rezeki dalam bidang lakonan akan sentiasa terbuka dengan rahmat daripada Allah SWT walaupun kini bertudung.

KUALA LUMPUR – Pelakon Angeline Tan menganggap tiada tawaran berlakon selepas bertudung hampir setahun lalu sebagai ujian buat dirinya agar tidak berputus asa dengan rahmat Allah.

Akui Angeline atau nama Islamnya Ardini Angeline Tan Yoke Yeah, 57, kerjaya lakonannya tidak lagi aktif seperti dahulu.

Bagaimanapun, Angeline yang memeluk agama Islam pada September tahun lalu reda dan percaya setiap orang memiliki rezeki masing-masing.

“Sejujurnya sejak bertudung sampai sekarang saya masih belum mendapat sebarang tawaran berlakon.

“Memang rasa agak berbeza sedikit kerana sebelum ini saya memang sudah terbiasa sibuk. Tetapi sekarang tiada kerja pula. Apa-apa pun saya percaya dengan takdir Tuhan bahawa setiap daripada kita ada rezeki masing-masing.

“Ada waktu itu rezeki saya, ada waktu rezeki orang lain. Paling penting kita percaya dengan rezeki Allah. Mungkin Allah tidak berikan rezeki saya di sini (berlakon), rezeki saya ada di tempat lain,” katanya.

Angeline yang ditemui dalam majlis pelancaran program Angeline Tanya, Abang Jawab di sini hari ini turut berkata, dia sedar pihak produksi mungkin berdepan dengan kesukaran untuk memberikan watak sesuai dengan imejnya sekarang.

“Sebelum ini ada tawaran berlakon daripada Issey dalam drama Perang Nasi Dagang, tetapi hanya watak kecil sahaja.

“Saya mendapat watak itu kerana suami (Sabri Yunus) turut berlakon dalam drama itu. Kalau hendak kata watak serius itu tiada langsung.

“Kalau hendak saya bertudung, nanti satu keluarga perlu jadi Cina mualaf,” katanya.

Dalam pada itu, isteri kepada pelakon dan pengarah Sabri Yunus itu turut menafikan dakwaan mengatakan dia bersedia membawa watak wanita tidak bertudung.

“Itu tidak benar. Drama terakhir saya sebelum memeluk agama Islam ialah X-Change. Drama itu dibuat pada tahun lalu dan sesi penggambaran berakhir seminggu sebelum saya masuk Islam.

“Sepanjang lebih 30 tahun dalam industri, saya tidak pernah meminta tawaran berlakon daripada sesiapa. Walaupun baik dengan abang Sabri, tetapi saya tidak mengharapkan kepada sesiapa,” katanya.

Untuk info, program Angeline Tanya, Abang Jawab menampilkan Angeline bersama Sabri saling berinteraksi melalui soalan-soalan berkaitan pelbagai isu agama, kehidupan dan sosial.

Program tersebut dijadualkan mula bersiaran pada 18 September, setiap Rabu, pukul 8.30 malam di TV AlHijrah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI