PETALING JAYA – Tindakan pemilik meletakkan keretanya bukan di tempat letak kenderaan mengundang padah, apabila cermin sisinya patah dilanggar sebuah lori dalam kejadian di Hulu Langat.
Menerusi video tular di media sosial, kejadian tersebut berlaku di kawasan premis kedai di Taman Lagenda Suria, Hulu Langat.
Pada video berkenaan, kelihatan sebuah kereta diletakkan di tepi lorong kecil bukan di tempat letak kenderaan dan kemudian, sebuah lori dilihat melalui jalan tersebut.
Lori itu melalui ruang jalan di sebelah kereta tersebut, namun sewaktu ia membelok ke kiri, bahagian belakang lori terkena pada cermin sisi kereta lalu patah.
Video tersebut mengundang pelbagai reaksi daripada pengguna media sosial termasuk ada yang mengecam pemilik kereta selain ada juga marah dengan tindakan pemandu lori.
“Itulah makanan dia. Ramai sahaja spesies letak kereta ikut suka dia je. Pentingkan diri, masalah mental,” kritik seorang pengguna X kepada pemilik kereta.
“Belakang kedai macam tu memang selalu lori nak lalu hantar ais, barang apa-apa lah. Tak boleh salahkan lori tu. Kereta yang pentingkan diri sendiri, nak mudah letak kereta di situ. Akibatnya, berhabis duit baiki kereta nanti,” kata individu lain.
“Kebiasaannya lorong tengah laluan untuk lori masuk. Sebab nak hantar barang kedai,” komen yang lain.
Selain itu, ada juga pengguna media sosial yang marah dengan tindakan pemandu lori yang beranggapan ia boleh melalui lorong itu secara berhati-hati.
“Letak kereta di situ memang salah lah, tapi kalau boleh pandu lori elok sikit. Kasihan orang nak baiki kereta,” kata seorang individu.
“Kau rosakkan kereta orang, kau bayarlah saman,” kata seorang lagi pengguna X. – KOSMO! ONLINE
Peringatan kepada warga langat.parking kereta jgn ikut suka je.mse bwak anak gi tman sempat record.kejadian di lagenda suria. pic.twitter.com/SLjp5Y4kDn
— #UpdateInfo🇲🇾🌍 (@update11111) September 7, 2024