SRI AMAN – Seorang jururawat dan pemandu ambulans Hospital Betong cedera parah selepas melanggar belakang treler di Kilometer 46, Jalan Sri Aman-Sarikei, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Sri Aman, Deputi Superintendan Mathew Manggie berkata, kejadian kira-kira pukul 6 pagi itu berlaku ketika kedua-dua mangsa dalam perjalanan balik ke Hospital Betong selepas menghantar pesakit ke Hospital Umum Sarawak.
“Maklumat awal kemalangan melibatkan sebuah treler yang rosak dan diparkir di bahu jalan serta telah meletakkan segi tiga pada jarak 50 meter dari belakang treler berkenaan, dan lampu harzard juga dipasang.
“Tiba-tiba treler terbabit dilanggar di sebelah kanan bahagian belakang oleh ambulans Hospital Betong yang dalam perjalanan balik setelah menghantar pesakit ke Hospital Umum Sarawak,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tambahnya, akibat perlanggaran itu, pemandu ambulans yang berusia 45 tahun mengalami kecederaan dalaman, manakala jururawat berusia 42 tahun mengalami retak bahagian muka, patah tangan dan kaki kiri.
Katanya pemandu treler terbabit ditahan dan dibawa ke Balai Trafik IPD Sri Aman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 43(1) APJ 1987. – KOSMO! ONLINE