IPOH – Tempoh reman terhadap pekerja kilang yang ditahan kerana disyaki membuat komen berbaur fitnah terhadap anggota polis yang terkorban dalam serangan Balai Polis Ulu Tiram, Johor minggu lalu dilanjutkan dua hari lagi.
Perintah sambung reman sehingga esok itu dikeluarkan terhadap lelaki berusia 25 tahun itu selepas tempoh reman selama empat hari sejak Jumaat lalu berakhir hari ini.
Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, permohonan sambung reman itu dibuat bagi membolehkan siasatan lanjut dan terperinci dijalankan terhadap suspek.
Bahkan, katanya, pihak polis juga sedang menunggu beberapa dokumen melibatkan jabatan dan agensi lain bagi melengkapkan siasatan.
“Sebaik sahaja dokumen-dokumen ini diperoleh dan siasatan kes dilengkapkan pasukan penyiasat, kertas siasatan itu akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk cadangan pertuduhan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Perak di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, di sini hari ini.
Tangkapan terhadap lelaki itu dibuat di Masai, Johor Khamis lalu susulan satu laporan polis yang diterima daripada waris Allahyarham Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar.
Laporan yang dibuat pada 29 Ogos lalu itu berkaitan satu hantaran di ruangan komen di laman sosial Facebook milik seorang warga tempatan yang telah menggores perasaan waris keluarga Allahyarham. – KOSMO! ONLINE