RAMAI berpendapat ketiadaan legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei yang bersara Jun tahun lalu mampu menggugat peluang Malaysia untuk merangkul pingat emas sulung pada Sukan Olimpik.
Bagaimanapun, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) ada ramuan tersendiri apabila menjanjikan pingat emas menerusi sukan itu pada Sukan Olimpik di Tokyo, Jepun tahun depan.
Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria yakin skuad badminton negara mampu merealisasikan misi besar itu meskipun tanpa kehadiran Chong Wei di dalam gelanggang.
“Apabila Chong Wei bersara, ramai orang cakap habislah badminton Malaysia. Bagaimanapun, sekarang orang sudah mula bercakap mengenai pemain-pemain muda yang meningkat naik seperti Lee Zii Jia serta beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik.
“Justeru, bagi temasya Olimpik tahun depan, kami janjikan pingat emas dan saya yakin ia boleh direalisasikan menerusi Aaron-Wooi Yik,” kata Norza ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.
Tambah Norza, beliau yakin impian tersebut boleh dicapai kerana berpendapat saingan pada Olimpik lebih mudah jika dibandingkan dengan kejohanan-kejohanan Jelajah Dunia.
Norza menegaskan, sudah tiba masanya skuad badminton membawa pulang pingat emas selepas sekadar berpuas hati dengan pingat perak dalam beberapa edisi terdahulu.
“Kalau tengok sejarah, Olimpik sebenarnya lebih mudah berbanding Siri Super kerana tidak bertemu pemain ternama pada awal saingan. Sebab itu ranking dunia penting kerana ia mampu mempengaruhi undian nanti.
“Hakikatnya, sejak edisi di Atlanta (Amerika Syarikat) hingga sekarang, badminton sentiasa menyumbang pingat. Oleh itu, sudah tiba masa untuk kita genggam pingat emas dengan cara apa sekalipun,” ujarnya.
Sebagai rekod, pencapaian terbaik skuad badminton pada Sukan Olimpik adalah pada edisi 2016 di Rio de Janeiro, Brazil apabila merangkul tiga pingat perak menerusi Chong Wei, Goh V Shem-Tan Wee Kiong (beregu lelaki) dan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying (beregu campuran). – K! ONLINE