PETALING JAYA – Dua beradik yang mewakili Malaysia bagi pertandingan memanah berkuda European Kids Horseback Archery Championship 2024 pada bulan lalu muncul juara dan naib juara menerusi kategori yang dipertandingkan.
Abdurrahman Ahmad Mu’az diumumkan juara bagi kategori bawah 14, manakala adiknya, Heba Nusaybah pula naib juara untuk kategori bawah 12 pada pertandingan yang berlangsung di Gauchoux, Perancis pada 21 hingga 23 Ogos lalu.
Menerusi video dimuat naik ibunya di platform TikTok Fathim Ridayu, hanya dua wakil dari Malaysia menyertai pertandingan memanah berkuda yang mana penyertaan Abdurrahman dan Heba Nusaybah merupakan tajaan sendiri.
Pertandingan itu disertai lebih 110 pesaing dari 16 negara antaranya Perancis, Belanda, Belgium, Indonesia, Brazil, Finland, Poland, England, Sepanyol, Jerman, Afrika Selatan, Switzerland, Turkiye, Amerika Syarikat dan Ireland.
Berdasarkan video itu kebanyakan negara lain menghantar ramai peserta berbanding Malaysia yang hanya diwakili dua beradik tersebut serta ditemani oleh ibu mereka.
Sementara itu, orang ramai memberi penghargaan dan ucapan tahniah atas kejayaan dua beradik tersebut selain berharap ada pihak yang akan tampil memberi sokongan untuk sukan memanah berkuda.
“Padu sangat ni, hantar wakil dua orang, dua-dua naik podium. Tahniah, harap tahun depan kena hantar ‘team’ besar sikit. Dah senang dapat penaja rasanya,” kata Perantau Hepi.
“Bawa dua orang je, tapi dua-dua naik podium. Hebat kau dik,” ujar Santai Ngopi.
“Terbaik, walaupun dalam keadaan menyedihkan, tapi tak patah semangat untuk menang. Hasilnya sungguh membanggakan,” kata seorang lagi pengguna TikTok. – KOSMO! ONLINE
@fathimridayuWakil negara terakhir yang berarak 😂 🇲🇾♬ Funny video “Carmen Prelude” Arranging weakness(836530) – yo suzuki(akisai)