fbpx

Program Keretapi Sarong 2024 tampil kekuatan jenama tempatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Shamsul Bahrin (tengah) pada sidang akhbar berhubung program KS24 di Kuala Lumpur baru-baru ini.

PETALING JAYA – Program Keretapi Sarong 2024 (KS24) yang akan berlangsung pada 14 September ini bakal diraikan dengan perayaan penuh warna-warni seiring dengan sambutan  Hari Malaysia ke-61 yang menampilkan kekuatan jenama tempatan yang dihasilkan oleh rakyat Malaysia, untuk Malaysia dan juga dunia.

Pengarah Program KS2024, Shamsul Bahrin Zainuzzaman berkata, tema pada tahun ini adalah Bangga Malaysia (Proud Malaysia) yang mengangkat kelebihan jenama tempatan luar biasa yang membentuk identiti kolektif kita.

Menurut beliau, KS24 tahun ini membawa tema Bangga Malaysia  ke satu tahap yang lebih tinggi untuk menghargai jenama sekali gus mengiktiraf peranan mereka dalam membentuk identiti Malaysia dan mempamerkan potensi komersial budaya di peringkat nasional dan juga antarabangsa.

“Tema Bangga Malaysia’ bukan sekadar tema tahun ini tetapi ia adalah kenyataan yang kukuh tentang kebanggaan negara kita terhadap jenama tempatan yang membentuk identiti. 

“Melalui Keretapi Sarong 2024, kita bukan sahaja meraikan penyatuan kita, tetapi juga mempamerkan kreativiti dan ketahanan jenama Malaysia, menjadikan mereka simbol perpaduan dan warisan budaya.

“Kami sangat gembira kerana mendapat sokongan daripada jenama tempatan yang berkongsi visi kami untuk mengangkat kecemerlangan Malaysia ke mata dunia,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan bersempena majlis pelancaran awal program KS2024 di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Shamsul Bahrin yang juga Pengasas Bersama LOCCO menerangkan, program berkenaan itu dijangka mencapai tahap baharu berkat kerjasama yang tidak ternilai daripada rakan strategik utama, penaja serta bersama sokongan padu daripada lebih 40 rakan strategik. 

“Barisan penaja hebat, kesemuanya menyumbang secara unik kepada sambutan meraikan kesepaduan tema Bangga Malaysia beserta kempen khas mereka, antaranya seperti Prasarana, ERL, AirAsia, Hotlink, Siti Khadijah, jenama minuman HAUSBOOM, Bulan Bintang dan Bank Simpanan Nasional (BSN).

Selain itu, kejayaan KS2024 turut diperkuatkan oleh penyertaan aktif rakan komuniti seperti Infinix, UiTM Melaka, TGV Cinemas, Gardenia, dan Hi Lighter Studio, Malaysia Fashion Creativity Award.

Selain acara utama di Lembah Klang, flash mob serentak juga akan rancak berlangsung di lokasi terpilih seperti Johor Bahru, Kota Bharu, Ipoh, Bukit Mertajam, Alor Setar, malah di kota Paris dan Berlin yang menonjolkan jangkauan global dan daya tarikan unik sambutan khas Malaysia ini. -KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI