DUSSELDORF – Jerman memulakan kempen Liga Negara-Negara Eropah (UNL) dengan penuh bergaya apabila membelasah Hungary 5-0 dalam saingan Kumpulan C yang berlangsung di Merkur Spiel Arena awal pagi semalam.
Masing-masing satu gol menerusi jaringan Niclas Fullkrug, Jamal Musiala, Florian Wirtz, Aleksandar Pavlovic dan Kai Havertz sudah cukup untuk memastikan mereka meraih tiga mata berharga.
Ketua Jurulatih Jerman, Julian Nagelsmann mengakui gembira dengan kemenangan besar tersebut, lebih-lebih lagi beliau menganggap anak-anak buahnya menampilkan aksi sedikit gugup pada awal permainan.
“Saya fikir pada awal lima hingga 10 minit pertama, kami bermain sambil lewa dan melakukan banyak kesilapan dari segi hantaran. Bagaimanapun, ia semakin baik apabila perlawanan memasuki minit ke-20.
“Kami sepatutnya menjaringkan lebih banyak gol di separuh masa pertama berdasarkan deretan peluang yang terhidang. Saya harap pasukan ini menunjukkan kemahuan lebih tinggi untuk menjaringkan gol pada perlawanan akan datang,” katanya.
Sementara itu, Musiala yang mempamerkan aksi cukup baik sepanjang perlawanan tersebut menggesa rakan sepasukan supaya mengambil peluang untuk memperkemaskan permainan masing-masing dalam usaha mereka melayakkan diri ke Piala Dunia 2026.
“Bagi saya, sangat penting untuk kami kekal menikmati bola sepak menghiburkan sejak kempen Euro 2024. Kami akan mengharungi 20 perlawanan sehingga ke Piala Dunia, jadi kami perlu gunakan peluang itu untuk memperkemaskan pasukan,” ujarnya. – AGENSI