fbpx

Kaedah perikanan Perak akan dipinda tangani ancaman ikan asing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Zolkafly (kanan) ketika menghadiri Majlis Perasmian Penutup Program Memburu Ikan Asing Peringkat negeri di Dewan Terbuka Ngah Sagor di Parit, hari ini.

PARIT – Jabatan Perikanan Perak akan meminda peruntukan di dalam Kaedah-Kaedah Perikanan (Sungai) Perak 1992 bagi menangani isu ikan asing di sungai-sungai di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Mohd. Zolkafly Harun berkata, langkah pengemaskinian serta menambah baik kaedah itu adalah untuk memastikan ia relevan dan selari dengan peruntukan undang-undang.

Beliau menjelaskan, ia ekoran kehadiran pelbagai spesies ikan asing seperti ikan bandar raya, patin siam, peacock bass dan udang kara air tawar di perairan negeri ini menimbulkan kebimbangan umum.

“Bagaimanapun, sejak beberapa tahun ini muncul pelbagai spesies gergasi ataupun invasive alien spesies (IAS) yang boleh menjangkau saiz gergasi iaitu ikan baung ekor merah Asia dan patin chaophraya.

“Kedua-dua spesies asing ini adalah bersifat pemangsa dan memakan ikan tempatan,” katanya ketika menghadiri Majlis Perasmian Penutup Program Memburu Ikan Asing Peringkat negeri di Dewan Terbuka Ngah Sagor, di sini hari ini.

Pada masa sama, Mohd. Zolkafly berkata, pihaknya akan bertemu dengan peniaga ikan hiasan serta pemimpin-pemimpin agama bagi memberi kesedaran mengenai tindakan melepaskan ikan asing ke sungai-sungai di Perak.

Beliau menjelaskan, ada kes yang mana ikan asing dibawa masuk melalui pintu sempadan secara sah sebagai tujuan rekreasi memancing kolam, ikan hiasan dan juga ternakan akuakultur.

“Akibat kegagalan penternak untuk mengawal aktiviti pembiakan dan perternakan, terdapat kemungkinan Ikan asing terlepas secara tidak sengaja ke perairan umum.

“Terdapat juga kes yang mana penggemar ikan mempunyai terlalu banyak ikan yang terkumpul atau selepas mendapati ikan peliharaan terlalu besar dan sukar diuruskan, ia kemudian dilepaskan ke sungai atau tasik,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, aktiviti pelepasan ikan di perairan sungai semata-mata untuk tujuan ritual keagamaan termasuk membayar nazar atau hajat tertentu juga merupakan faktor yang mengundang lambakan ikan asing di perairan kita.

“Melepaskan ikan-ikan spesies asing ke perairan umum seolah-olah suatu tindakan yang wajar, namun ia boleh menimbulkan ancaman besar kepada biodiversiti dan ekosistem tempatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI