SELAYANG – Festival TVET Madani @ Kolej Komuniti Selayang (KKSY) yang berlangsung selama tiga hari sejak Jumaat lalu merupakan festival yang melestarikan budaya kerja cemerlang dan meningkatkan daya saing dalam penyelidikan, inovasi serta pengkomersialan dalam kalangan pensyarah, pelajar dan komuniti setempat.
Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Datuk Dr. Mohd Zahari Ismail berkata, festival itu juga bertujuan memupuk aktiviti perkongsian pintar kepakaran dan pertukaran pendapat antara pihak institusi pendidikan tinggi dengan industri serta kementerian berkaitan.
Dengan membawa tema ‘Kelestarian Ilmu Warisan Malaysia Madani’ katanya, festival tersebut turut menekankan kepentingan memelihara dan mempromosi nilai-nilai tradisional sambil beradaptasi dengan teknologi moden.
“Perkongsian pintar seperti festival ini amat penting bagi memastikan penyelidikan dan inovasi yang kita hasilkan terus relevan dan dapat diaplikasikan dalam dunia nyata.
“Tumpuan kepada pelancongan, hospitaliti dan gastronomi dalam festival ini adalah manifestasi kekayaan budaya serta warisan Malaysia yang menjadi aset berharga untuk dipertahankan dan diwarisi oleh generasi akan dating,” katanya dalam ucapan Majlis Perasmian Penutup Festival TVET Madani di Kolej Komuniti Selayang dekat sini hari ini.
Pelbagai program telah dianjurkan antaranya, Pertandingan Inovasi (PERDINO), Seminar Penyelidikan (SEMPEN), The Big Ideas 2.0 (Product Pitching), Kursus Pendek (Pembelajaran Sepanjang Hayat), serta banyak aktiviti lain yang menarik dan bermanfaat dalam bidang pelancongan, hospitaliti, gastronomi, pengurusan acara dan
Pengajaran dan Pembelajaran (PdP).
Tambah Mohd Zahari lagi, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti berusaha dalam mengangkat martabat Pendidikan TVET ke tahap yang lebih tinggi demi memastikan masa depan yang lebih cerah untuk generasi akan datang.
“Dedikasi dan komitmen semua merupakan bukti nyata kekuatan sinergi dan kolaborasi antarainstitusi pendidikan, sektor industri, dan pihak kerajaan dalam memajukan sektor pendidikan serta memperkukuh ekonomi negara,” katanya. – KOSMO! ONLINE