fbpx

18 lokasi ‘hot spot’ kepala air, 8 tanah runtuh di Kelantan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zainal (tengah) menyampaikan pingat kepada pemain Sukan Bomba Malaysia (Sukbom) 2024 pada Majlis Perhimpunan Bulanan JBPM Kelantan di Ibu Pejabat JBPM Kelantan, Tunjong di Kota Bharu, hari ini. Foto ROSMIZAN RESDI

KOTA BHARU – Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kelantan mengenal pasti sebanyak 18 lokasi rekreasi yang berisiko berlaku kepala air dan lapan kawasan berpotensi kejadian tanah runtuh susulan cuaca yang tidak menentu ketika ini.

Pengarahnya, Zainal Madasin berkata, lokasi kejadian kepala air melibatkan kawasan rekreasi dan air terjun di Pasir Puteh, Kuala Krai, Tanah Merah, Jeli, Machang dan Gua Musang.

Menurutnya, selain cuaca tidak menentu, semua kawasan berkenaan menjadi ‘hot spot’ kepala air susulan kerap berlaku hujan pada setiap petang.

“Antara kawasan yang dikenal pasti di Pasir Puteh ialah Jeram Pasu dan Jeram Mengaji (Pasir Puteh), Lata Rek, Lata Berangin, Sungai Durian, Air Terjun Istana Sangkut, Lata Chenulang, Lata Y, Lata Kertas dan Air Terjun Jelawang, Dabong (Kuala Krai) selain Lata Hujan dan Lata Bijih (Tanah Merah).

“Lata Janggut, Lata Keding, Lata Turbo, Lata Kashmir di Jeli turur dikenal pasti sebagai lokasi berisiko selain Air Terjun Bukit Bakar dan Jeram Linang (Machang) termasuk Jeram Pelangi, Renok di Gua Musang,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Perhimpunan Bulanan JBPM Kelantan di Ibu Pejabat JBPM Kelantan, Tunjong, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Zainal memberitahu, sebagai langkah persediaan, pihak bomba telah menjalankan rondaan berkala di kawasan-kawasan tersebut yang menjadi tumpuan terutamanya pada musim cuti persekolahan.

Katanya, pihak bomba juga telah bersedia dengan latihan penyelamatan arus deras kepada Pasukan Penyelamat dan Keselamatan Air (SWART).

Dalam pada itu, Zainal berkata, JBPM Kelantan turut mengenal pasti lapan kawasan yang berisiko berlaku tanah runtuh di negeri ini.

“Antara kawasan terbabit ialah di Gua Musang iaitu di Jalan Kuala Betis-Lojing, Jalan Gua Musang-Lojing sekitar Lojing dan di Jeli pula di Lebuh Raya Timur Barat Jeli-Grik dan Batu 18, Jalan Timur Barat.

“Kawasan sekitar Lata Rek, kawasan Gunung Stong dan Kampung Chuchuh Puteri juga dikenal pasti sebagai lokasi tanah runtuh di negeri ini,” katanya.

Sementara itu, Zainal berkata, pihaknya juga telah bersiap sedia menghadapi kemungkinan banjir pada musim tengkujuh tidak lama lagi.

Katanya, tumpuan diberikan terutamanya di kawasan-kawasan yang terjejas banjir termasuk di Pasir Puteh yang menjadi kawasan yang pertama dilanda banjir semasa musim tengkujuh. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI