SEREMBAN – Sebarang pertikaian berkaitan cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan di negara ini memiliki sijil halal hanya akan ‘merosakkan’ keadaan negara yang kini berada dalam keadaan baik.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sentimen masyarakat di negara ini perlu dijaga dan sewajarnya setiap pandangan berkaitannya perlu dibawa untuk dibincangkan supaya ia dapat diteliti.
Jelas beliau, kenyataan-kenyataan kontroversi yang dikeluarkan tidak relevan dalam masyarakat negara ini yang mempunyai sentimen masing-masing.
“Jika mahu diberikan perhatian, bawa dalam mesyuarat dan kita teliti. Tidak boleh begini, ia menimbulkan kontroversi yang tak relevan dalam masyarakat kita.
“Peraturan (sijil halal) perlu supaya umat Islam tidak rasa was-was, kalau dirasakan peraturan itu tidak diperlukan di beberapa kawasan tertentu, bincanglah secara elok. Kalau mahu mewakili beberapa (pihak) tidak mengapa, tetapi tidak perlu kerana ia tidak membantu untuk menjernihkan keadaan.
“Kita kena jaga sentimen orang Islam, orang bukan Islam, caranya adalah runding secara elok bukan untuk kehebatan masing-masing, negara kita sudah dalam keadaan baik sekarang. Politik stabil, penghargaan dunia baik, ekonomi naik. Perkara-perkara ini merosakkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban (Arah Selatan), Lebuhraya Utara Selatan, di sini hari ini.
Baru-baru ini, media melaporkan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengkaji cadangan untuk mewajibkan restoran dan syarikat makanan di negara ini memiliki sijil halal.
Langkah itu bagi mengecualikan restoran yang menghidangkan daging babi atau minuman beralkohol.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar dilaporkan berkata, proses untuk mendapatkan sijil halal ketika ini adalah lebih kepada sukarela oleh pengusaha restoran atau pemilik syarikat makanan.
Perkara itu kemudian mendapat maklum balas Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok Suh Sim yang dilaporkan berkata, cadangan itu hanya menambah beban kepada peniaga dan memalukan negara.
Beberapa pihak lain kemudian mengeluarkan kenyataan menempelak Teresa dengan menganggap kenyataan Ahli Parlimen Seputeh menggugat keharmonian serta perpaduan negara ini. – KOSMO! ONLINE