KULIM – Pengunjung di Lubuk Jung di Sungai Sedim, di sini cemas apabila berlaku kejadian kepala air di situ berikutan hujan lebat pada petang tadi.
Video kejadian tular di media sosial dengan memaparkan beberapa khemah yang dipasang di tepi sungai rosak akibat arus deras. Difahamkan, kejadian tidak melibatkan mangsa.
Sementara itu, beberapa kawasan termasuk di Taman Tiram, Taman Tiram Indah dan Kampung Sungai Seluang dilanda banjir kilat.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kulim, Kapten (PA) Amirul Aliff Ahmad berkata, operasi memindahkan mangsa yang terjejas banjir ke Masjid Sungai Seluang sedang dijalankan.
“Jumlah mangsa dan keluarga terlibat masih dalam proses bancian dan pusat pemindahan sementara kemungkinan dibuka,” katanya. – KOSMO! ONLINE