fbpx

Remaja lemas tergelincir ketika lihat rakan mandi sungai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Lokasi kejadian mangsa dijumpai lemas di Sungai Kampung Lata Pauh, Kuala Krai hari ini. FOTO IHSAN BOMBA

KUALA KRAI – Kegembiraan seorang pelajar tingkatan tiga yang hanya melihat tujuh rakannya mandi-manda di Sungai Kampung Lata Pauh, di sini hari ini berakhir dengan tragedi apabila dia tergelincir dari kawasan berbatu sebelum lemas di sungai tersebut.

Mangsa, Mohamad Azri Aiman Rosli, 15, ditemukan oleh rakannya yang berusia 18 tahun selepas 15 minit disedari lemas di dasar sungai itu.

Rakan mangsa, Muhammad Ikmal Akif Ahmad Suhaidi, 15, berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 12.30 tengah hari ketika dia sedang mandi bersama rakan-rakannya, manakala mangsa hanya duduk di atas kawasan berbatu.

Menurutnya, dia menyedari Mohamad Azri tergelincir ke dalam sungai berkenaan yang mempunyai kedalaman hampir dua meter.

“Mangsa hanya melihat kami mandi-manda kerana dia tidak pandai berenang. Selepas menyedari Mohamad Azri tergelincir, saya dan rakan-rakan lain cuba menyelamatkannya, namun kami pula hampir lemas kerana kawasan itu agak dalam,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Muhammad Ikmal memberitahu, keadaan itu menyebabkan dia dan rakan-rakan terus menyelamat diri dengan naik ke kawasan tebing sungai.

Menurutnya, Mohamad Azri sebelum itu sempat memeluknya, namun terlepas sebelum tenggelam dan dia seterusnya menghubungi talian kecemasan untuk memaklumkan mengenai kejadian itu.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krai, Mohd. Razani Mamat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 1.16 tengah hari dan setibanya anggota bomba di tempat kejadian, seorang remaja sudah berada di tebing sungai selepas diselamatkan oleh orang awam.

“Kami menggunakan pengusung untuk membawa keluar mangsa melalui jalan berbatu sejauh dua kilometer dari lokasi kejadian. Mayat remaja itu diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI