PERBEZAAN usia 11 tahun ia ternyata tidak menggerunkan jaguh muay thai berusia 17 tahun negara, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar selepas hanya memerlukan satu pusingan untuk menewaskan Josue Cruz dalam pertarungan ONE 168: Denver di Amerika Syarikat (AS), semalam.
Pada aksi yang berlangsung di Ball Arena di Denver, Colorado, Amerika Syarikat itu, Johan terkenal dengan panggilan Jojo itu turun dengan aksi cukup agresif apabila mengatasi lawan berusia 28 tahun dari Mexico itu menerusi ‘knockout’ (KO).
Bagi Jojo, kekalahan tiada dalam dirinya kerana dia hanya menunggu masa yang terbaik untuk melepaskan tumbukan bertubi-tubi untuk menumbangkan lawannya itu biarpun mengalami pendarahan hidung selepas terkena tumbukan Cruz.
“Pertama sekali, sebelum apa-apa saya ingin mengucapkan Alhamdulilah, tuhan telah memberikan saya segala-galanya.
“Sejujurnya, jika anda bertanyakan kepada saya bagaimana saya boleh berada dalam posisi hari ini, saya akan kata saya bekerja keras, sangat konsisten dan berikan segalanya. Anda tahu, darah, peluh dan air mata adalah yang saya lalui hari demi hari untuk capai ke sini.
“Pada perlawanan tersebut, dia (Cruz) melakukan tumbukan yang baik beberapa kali sehingga hidung saya berdarah, tetapi saya teruskan berlawan. Saya tidak mudah berputus asa,” katanya sejurus tamat perlawanan.
Kemenangan itu juga membolehkan Jojo menerima hadiah wang tunai sebanyak RM 216,000 daripada ONE Championship kerana berjaya menumpaskan lawan hanya dalam satu pusingan sahaja.
Hasil kemenangan tersebut, Jojo melebarkan rekod kemenangan 6-1 dan kekalahan pertama atlet darah campuran Malaysia dan Amerika Syarikat ini adalah di tangan jaguh muay thai Vietnam, Nguyen Tran Duy Nhat di Bangkok, Thailand pada Jun lalu.