ALOR GAJAH – Taman asuhan kanak-kanak (taska) yang mengasuh Muhammad Al Fateh Amri Mohd. Fikry Amri, bayi lapan bulan yang maut selepas disumbat botol susu dan ditekup bantal oleh pengasuhnya didapati tidak berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan negeri, Datuk Kalsom Nordin berkata, taska tersebut pernah membuat permohonan untuk mendaftar pada tahun lalu tetapi tidak mempunyai dokumen sokongan yang lengkap.
“Taska itu belum berdaftar dengan JKM dan sedang dapatkan sokongan pendaftaran dari Jabatan Bomba dan Penyelamat bagi aspek keselamatan.
“Ia bagaimanapun sudah mendapat sokongan daripada agensi yang lain seperti Majlis Perbandaran Alor Gajah dan Pejabat Kesihatan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Tambahnya, hasil soal siasat pengusaha taska, premis terbabit dipercayai mengasuh seramai 10 kanak-kanak termasuk Muhammad Al Fateh.
“Susulan kejadian yang menimpa Muhammad Al Fateh, seramai dua penguat kuasa JKM melakukan pemeriksaan di premis terbabit pada pukul 3.30 petang semalam, selain turut dihadiri pasukan forensik polis.
“Hari ini, Unit Kanak-kanak (Taska) dan juga Unit Penguatkuasaan JKM sekali lagi hadir melakukan pemeriksaan dan taska ini merekodkan kehadiran 10 orang kanak-kanak termasuk mangsa bayi yang meninggal dunia semalam,” katanya.
Katanya lagi, operasi lak atau sita khas akan dilaksanakan segera setelah pemeriksaan forensik oleh pihak polis selesai dilakukan selaras dengan peruntukan di bawah Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 (Akta 308). – KOSMO! ONLINE