IPOH – Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad mempersoalkan tindakan Ketua Pembangkang, Razman Zakaria yang terus mengaitkan kerajaan negeri dengan isu penutupan Taman Tema Movie Animation Park Studio (MAPS) di Meru Raya.
Tegasnya, tindakan Ahli Dewan Undangan (ADUN) Gunung Semanggol itu menimbulkan tanda tanya kerana beliau juga adalah Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) pada penggal lalu.
“(Kerajaan negeri) bukan membisu, tapi perlu diingat bahawa MAPS bukan lagi milik kerajaan negeri. MAPS adalah di bawah PCB Development Sdn. Bhd. (PCBD) yang telah digulung (muflis).
“Jadi, apa yang kita nak buat? Saya tidak boleh menyentuh harta orang. Razman salah seorang Exco yang lepas, kenapa sekarang (baru) tanya?,” katanya ketika ditemui pemberita pada Karnival Mesra Anak Muda (KAMU) di Stadium Indera Mulia, di sini hari ini.
Saraani berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Razman seperti disiarkan portal berita yang mendakwa kerajaan negeri masih mengambil sikap membisu berkaitan tindakan perobohan bangunan MAPS.
Razman dilaporkan berkata, walaupun perkara itu pernah dibangkitkan dalam Sidang DUN Julai lalu, namun jawapan Saarani disifatkan mengecewakan. – KOSMO! ONLINE