LONDON – Pengurus Chelsea, Frank Lampard mengakui pasukannya semakin terdesak untuk kembali membantu penyerang sensasi, Timo Werner menemui sentuhan jaringan menjelang pertemuan getir bertemu Manchester City pada aksi Liga Perdana Inggeris di Stamford Bridge awal pagi esok.
Sebagai rekod, prestasi penyerang antarabangsa Jerman itu dikritik hebat selepas gagal menjaringkan sebarang gol dalam 11 perlawanan terakhir bersama skuad The Blues sekali gus dilihat tidak dapat menyesuaikan diri dengan corak bola sepak di England.
Kata Lampard, khidmat Werner sangat ditagih pada aksi bertemu dengan skuad The Citizens yang dikendalikan oleh Pep Guardiola tetapi dalam masa yang sama usaha itu perlu dibahagikan buat semua pemain dalam kesebelasan utama.
“Saya kekal optimis Werner boleh menjadi senjata rahsia buat pasukan kami pada aksi bertemu City kerana dia sangat sesuai jika kami mahu menggunakan taktikal serangan balas pantas memandangkan pasukan lawan dijangka menguasai permainan.
“Justeru, saya mahu semua pemain bekerja keras dan jika boleh, cuba mencipta peluang serta membuka ruang buat Werner menjaringkan gol. Saya percaya kerja keras yang dilakukannya selama ini akan dibayar dengan menamatkan kemarau jaringan buat kami,” katanya.
Sementara itu, Lampard mengakui sangat gembira apabila pemain sayap utama, Hakim Ziyech disahkan cergas sepenuhnya untuk bertemu menentang City selepas hampir sebulan diketepikan ekoran kecederaan.
“Dia sudah menyertai sesi latihan bersama skuad utama sejak awal minggu ini tetapi saya masih belum lagi membuat keputusan untuk menyenaraikannya dalam kesebelasan utama.
“Namun, saya akui kehadirannya telah melonjakkan lagi semangat pasukan kerana dia adalah pemain yang cukup penting buat kami,” katanya. – AGENSI