LONDON – Legenda tinju dunia, Mike Tyson bersetuju untuk turun kembali ke gelanggang sekali lagi pada musim 2021 selepas tampil hebat pada perlawanan pertunjukan ketika menentang Roy Jones Jr. pada November tahun lalu.
Juara heavyweight tersebut dilihat masih bertenaga melakukan tumbukan padu ketika menentang Jones Jr. sehingga pusingan kelapan di Los Angeles sekali gus menyatakan hasrat untuk bertarung sekali lagi.
Meskipun perlawanan itu berakhir dengan keputusan seri, namun ramai peminat tinju mengakui Tyson lebih layak menjuarai perlawanan tersebut selepas dilihat lebih mengawal pertarungan berbanding Jones Jr.
Pada perlawanan tersebut, lebih 1.6 juta penonton telah menyaksikan pertarungan legenda berusia 54 tahun tersebut melalui saluran televisyen berbayar membolehkan penganjur mengutip jutaan dolar.
Ketika sesi Instagram Live bersama Patrick Mouratoglou, Tyson mendedahkan bahawa dia sedia beraksi dalam mana-mana perlawanan pertunjukan pada tahun ini.
“Sudah pasti. Saya berasa lebih baik kali ini. Apa yang saya boleh katakan saya sangat gembira kembali ke gelanggang semula. Saya berasa sangat baik dan saya rasa mampu melakukannya lagi,” katanya.
Kejayaannya kembali beraksi di gelanggang menyaksikan beberapa bekas petinju turut menyatakan kesediaan untuk mengikut jejak langkahnya.
“Sebaik saja saya mengumumkan akan beraksi pada perlawanan pertunjukan, setiap orang dan atlet mahu melakukan perkara sama,” katanya.
– AGENSI