fbpx

WBL peluang terbaik anggota ATM peroleh Diploma

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bersalaman dengan anggota tentera yang hadir dalam Minggu Bersama Pencarum - Jelajah Selatan 2024 di Kem Mahkota, Kluang semalam.

KLUANG – Seramai 1,000 anggota tentera seluruh negara yang tidak mempunyai kelulusan Diploma akan memperolehi manfaat melalui Program Work-Based Learning (WBL) hasil kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Menerusi program tersebut, anggota ATM berpeluang mengikuti enam pilihan penilaian yang ditawarkan iaitu Diploma Seni Kulinari, Diploma Pengurusan Hotel, Diploma Pendidikan Islam, Diploma Pengurusan dan Teknologi Pejabat, Diploma Sains dan Rekreasi serta Diploma Sains Geomatik.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, WBL adalah merupakan program penganugerahan Diploma berasaskan kemahiran yang perlu dilalui peserta.

Ujarnya, terdapat segelintir anggota ATM hanya mempunyai Sijil Pelajaran Malaysia sahaja dan mereka ini akan bersara pada usia muda antara 40 hingga 42 tahun.

“Jadi, kita telah kenal pasti 10 program dalam ATM yang mana apabila anggota keluar nanti selepas 22 tahun bekerja dia memiliki Diploma tanpa perlu ke universiti,” katanya kepada pemberita pada Minggu Bersama Pencarum – Jelajah Selatan 2024 di Kem Mahkota, Kluang semalam.

Sementara itu, Pegawai Staf 1, Pengajian Tinggi ATM, Leftenan Kolonel Zulkifli Hussen berkata, program berkenaan yang dikenali sebagai Inisiatif Pendidikan ATM Work-Based Learning (WBL MINDEF) adalah sesuatu yang baharu dalam ATM dan ia akan mula dilaksanakan tahun hadapan dengan menyasarkan 90,000 anggota tentera yang tidak mempunyai sijil diploma.

MOHAMED KHALED melawat ruang pameran ketika hadir dalam Minggu Bersama Pencarum – Jelajah Selatan 2024.

Beliau yang mewakili Kor Perkhidmatan Am (KPA – Pendidikan) berkata, setiap anggota yang terpilih untuk mengikuti program itu terlebih dahulu perlu mencapai tempoh bertugas selama 10 tahun dan memilih kursus yang bersesuaian dengan kemahiran dalam perkhidmatan.

“Sebagai permulaan, program ini akan melibatkan kira-kira 1,000 anggota dan diharapkan menerusi kerjasama UiTM, anggota ATM akan mempunyai ilmu tambahan atau kemahiran tertentu sebelum mereka bersara,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Pendidikan Berterusan dan Pengajian Profesional (ICEPS), Prof. Dr. Faizah Abd. Majid berkata, kelebihan bagi anggota tentera yang terpilih untuk program ini ialah mereka akan dianugerahkan diploma masing-masing setelah enam bulan penilaian dan tidak perlu mengunjungi mana-mana cawangan UiTM.

“Malah kami sendiri yang akan datang ke kem-kem tentera,” katanya. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI