JAGUH lompat jauh negara, Datuk Abdul Latif Romly kini menjadi harapan terakhir kontinjen Malaysia untuk menjelmakan kilaun pingat emas ketika turun bersaing dalam kategori T20 (kecacatan intelektual) pada Sukan Paralimpik Paris 2024.
Atlet berusia 27 tahun itu dilihat bersedia mengukir sejarah untuk melengkapkan hatrik pingat emas apabila membuat penampilan pada saingan hari terakhir di Stade de France awal pagi esok.
Anak jati Kangar, Perlis itu berangkat ke Paris dengan reputasi besar selepas berjaya meraih emas Sukan Paralimpik pada edisi Rio 2016 dan Tokyo 2020 sekali gus berpeluang menambah koleksi peribadinya pada temasya berprestij empat tahun sekali itu
Jurulatih lompat jauh para negara, Shahrul Amri Suhaimi meletakkan sepenuh keyakinan terhadap anak didiknya itu kerana pengalaman dua edisi sebelum ini mampu membantu Latif kekal tenang memburu emas ketiga di Paris.
“Ini adalah Sukan Paralimpik ketiga Latif, saya percaya pengalaman dia akan membantunya terutama mengawal diri daripada sebarang tekanan sebelum pertandingan bermula nanti.
“Bukan mudah untuk menang emas kerana ada enam lompatan, apa-apa pun boleh terjadi. Saya harap Latif boleh berikan aksi terbaiknya nanti,” katanya.
Latif dijangka berdepan tentangan sengit daripada atlet Russia, Iakushev Matvei yang kini berada di ranking pertama Olahraga Para Dunia, sekali gus bakal menjadi cabaran buatnya untuk mempertahankan pingat emas.
Rekod terbaik Latif musim ini adalah 7.37 meter (m), manakala Matvei yang baru berusia 21 tahun mempunyai catatan lebih baik iaitu 7.40m.
Bagaimanapun, Latif adalah pemegang rekod dunia dengan lompatan sejauh 7.64m ketika melakukannya sewaktu Sukan Para Asia Jakarta pada 2018.