fbpx

Pemandu mabuk dijel 10 tahun, denda RM70,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TERTUDUH diiring keluar anggota polis dari Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka. Foto oleh MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI/ KOSMO!

MELAKA – Seorang penyelia syarikat hiasan dalaman dipenjara 10 tahun dan denda RM70,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas didapati bersalah memandu dalam keadaan mabuk, tiga tahun lalu.

Majistret Azureen Sahira Sauffee Afandi menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Lee Han Wee, 45, selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Mahkamah turut mengarahkan lesen memandu tertuduh digantung selama 10 tahun selepas tertuduh selesai menjalani hukuman penjara.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati telah memandu di bawah pengaruh alkohol hingga menyebabkan kemalangan dan kematian seorang lelaki, Abdul Rahim Mohamad berusia 53 tahun pada pukul 12.45 pagi di Jalan Limbongan, Klebang pada 29 November 2021.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 Pindaan 2020 yang memperuntukan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda boleh sampai RM100,000 dan hilang kelayakan memegang lesen memandu selama 10 tahun.

Peguam Alhirzan Mohd. Akhir yang mewakili tertuduh bagaimanapun memohon agar hukuman penjara terhadap anak guamnya ditangguhkan kerana dengan alasan tertuduh mengalami kecederaan tulang pinggul akibat kemalangan tersebut dan memerlukan rawatan lanjut di hospital pakar.

Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya,Sherina Farhana Nor Sa’ari bagaimanapun membantah permohonan tersebut kerana tertuduh didapati telah mengambil minuman keras sebelum memandu sehingga menyebabkan kemalangan berlaku, selain rawatan boleh dijalani ketika berada di penjara.

Selepas mendengar hujah kedua belah pihak, mahkamah kemudian membenarkan penangguhan hukuman penjara dengan syarat pihak pendakwaan perlu menghantar notis rayuan dengan jumlah jaminan dinaikkan kepada RM20,000 dengan seorang penjamin.

Tertuduh juga diarahkan membayar denda RM70,000 terlebih dahulu atau penjara 12 bulan sekiranya gagal bayar.

Terdahulu, media pada 29 November 2021 melaporkan seorang lelaki, Abdul Rahim Mohamad, 53, maut, manakala tiga lagi anaknya berusia 11, 13 dan 20 tahun parah selepas kereta dinaiki dirempuh sebuah Nissan Teana dari arah bertentangan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI