KUALA LUMPUR – Taktik baharu penipuan melalui telefon yang menawarkan diskaun pakej pembayaran bil Tenaga Nasional Berhad (TNB) mencatatkan jumlah kerugian sebanyak RM279,289 sejak Mac lalu sehingga kini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, jumlah berkenaan membabitkan tujuh kes yang dilaporkan.
Jelas beliau, hasil siasatan mendapati, sindiket berkenaan membuat tawaran diskaun sekitar 20 hingga 30 peratus di Facebook.
“Semua kes sedang disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
“Mangsa diminta hubungi nombor dipaparkan dan kemudiannya hantar gambar bil TNB mereka. Setelah itu, sindiket akan hantar gambar resit pembayaran kononnya bayaran telah dijelaskan.
“Mangsa kemudiannya diarahkan untuk membuat pindahan wang (setelah ditolak diskaun) ke akaun bank individu yang diberikan,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat JSJK, di sini hari ini.
Bagaimanapun menurut beliau, mangsa mendapati bil TNB mereka masih tertunggak setelah pindahan wang dibuat.
“Adalah dinasihatkan agar orang ramai sentiasa berwaspada dan tidak mudah terperdaya. Dapatkan pengesahan daripada agensi berkaitan tentang kesahihan tawaran sebegini,” ujarnya.
Terdahulu Kosmo! melaporkan, TNB menasihatkan pengguna agar tidak mudah terpedaya dengan helah individu atau pihak ketiga yang mendekati pengguna secara terus bagi sebarang tujuan pembayaran bil elektrik termasuklah pemberian diskaun.
TNB dalam kenyataan menegaskan, pihaknya tidak pernah melantik ejen persendirian untuk menghubungi pengguna sebagai wakil bagi urusan pembayaran bil termasuk melalui panggilan telefon.
Menerusi laporan media Rabu lalu, seorang akauntan mengalami kerugian berjumlah RM164,903 akibat ditipu scammer yang menggunakan modus operandi serupa. – KOSMO! ONLINE